RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Editorial Safety Nets

Bukan Semua Pekerja Gig Sama

Sudah tiba masa untuk pemerincian istilah bagi menambah baik penggubalan dasar.

By Edwin Goh & Nelleita Omar18 January 2021


Read English Version

Pekerjaan gig menjadi semakin popular dan bertambah penting di Malaysia semenjak wabak COVID-19 melanda negara. Sejak penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada bulan Mac tahun 2020, platform gig seperti Grab dan Foodpanda telah mengalami peningkatan permintaan perkhidmatan penghantaran dan juga permohonan untuk menjadi penghantar. Hal ini menarik perhatian penyelidik dan penggubal dasar serta pihak media yang tertumpu kepada isu kesejahteraan dan kebajikan pekerja gig.

Namun begitu, satu perkara yang ketara dalam penulisan dan perbincangan isu ini ialah dari segi penggunaan istilah. Frasa ‘pekerja gig’ digunakan untuk merujuk kepada berbagai jenis pekerjaan gig, seolah-olah semua pekerja gig adalah sama. Realitinya, banyak perbezaan antara seorang penghantar makanan dan seorang yang bekerja sendiri ala ‘freelancer’. Sekiranya istilah ini tidak diperincikan, ia bakal menimbulkan masalah dalam usaha menggubal dasar yang berkesan.

Mentafsirkan istilah "pekerja gig"

Konsep pekerjaan gig bukannya suatu perkara yang baharu. Sebelum ini, pekerja kontrak biasanya dikenali sebagai kontraktor bebas dan ‘freelancer’ yang mengambil projek ataupun ‘gigs’ di mana mereka tidak terikat dengan kontrak kerja, sama ada secara sambilan atau sepenuh masa. Istilah ‘pekerja gig’ mulai popular di Malaysia pada awal tahun 2010 ketika platform perkongsian perjalanan (ride-sharing) Uber dan Grab memasuki pasaran.

Walau bagaimanapun, istilah ‘pekerja gig’ seperti yang digunakan sekarang meliputi pelbagai jenis pekerjaan dan kemahiran serta keterampilan, dari penghantar makanan hingga pereka grafik bebas. Laporan Prospek Ekonomi 2021 mendefinisikan ‘pekerja gig’ sebagai seseorang yang melakukan pekerjaan sementara melalui kontrak jangka pendek. Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula mengkategorikan kesemua ‘pekerja gig’ sebagai kontraktor bebas atau pekerja sendiri – iaitu skop pekerja yang agak luas.

Pekerja gig memang boleh dibezakan dari segi segi sifat pekerjaan, tahap kemahiran, profil demografi dan sebagainya. Namun begitu, satu aspek pembezaan yang, pada pendapat kami, boleh membantu penggubalan dasar yang lebih jelas, ialah dari segi hubungan kuasa (power relationships) antara pekerja dan platform gig.

Bagi pekerja gig yang boleh dianggap sebagai ‘berkolar putih’ dan bekerja sebagai pereka grafik, penulis iklan, penulis sambilan, pengaturcara dan sebagainya, platform gig seperti Upwork dan TaskRabbit berfungsi sebagai pasaran atau pengantara. Di situ, mereka akan memaparkan perkhidmatan, porfolio dan harga perkhidmatan mereka. Walaupun masih terbatas dengan hukum penawaran dan permintaan yang biasa, secara relatif, pekerja ini boleh memilih dan mengawal jumlah dan bentuk pekerjaan yang mereka terima dan serta harga tawaran. Platform gig tersebut akan mengambil komisen tetapi tidak menentukan atau menawarkan pekerjaan kepada pekerja tersebut secara langsung.

Sebaliknya, mereka yang melakukan pekerjaan gig seperti ‘e-hailing’, penghantar makanan dan sebagainya mempunyai hubungan yang sangat berbeza dengan platform gig mereka. Tawaran tugas atau gig ditentukan menggunakan algoritma proprietari khas berdasarkan radius lokasi pekerja serta faktor-faktor lain. Caj untuk setiap tugas ditentukan oleh platform gig tersebut. Walaupun pekerja ‘bebas’ menerima atau menolak pekerjaan yang ditawarkan, kebanyakkan platform gig akan mengenakan ‘denda’ untuk pekerja gig yang mempunyai kadar penerimaan pekerjaan yang rendah.

Laporan dari Institute for Innovation and Public Purpose di University College London (UCL) ) Julai lalu telah mengutarakan cadangan untuk membezakan pekerja gig berdasarkan tahap kawalan majikan atau platform berbanding dengan kebergantungan pekerja terhadapnya. Pekerja yang tidak bergantung secara khusus pada satu platform gig untuk menetapkan pekerjaan mereka, boleh dikategorikan sebagai ‘kontraktor bebas’ (Rajah 1).

Sebaliknya, pekerja yang bergantung pada platform gig untuk menerima pekerjaan atau mempunyai aspek pekerjaan mereka yang ditetapkan oleh platform gig lebih sesuai dikategorikan sebagai ‘kontraktor bergantung’ (Rajah 1).


Rajah 1: Kerangka Kebergantungan dan Kawalan

Sumber: UCL Institute for Innovation and Public Purpose.

Mereka yang dikategorikan sebagai ‘kontraktor bebas’ atau ‘kontraktor bergantung’ memerlukan jaringan keselamatan sosial dan pelindungan pekerja yang berbeza.

Risiko pengunaan istilah yang terlalu luas dalam penggubalan dasar

Memandangkan wujudnya kepelbagaian dari segi jenis pekerja dan hubungan dengan dalam platform gig, menggunakan istilah ‘pekerja gig’ untuk menggambarkan kesemua pekerja dengan kontrak pendek membawa risiko apabila menggubal dasar. Salah satu contoh ialah penguatkuasaan Assembly Bill No. 5 (AB5) di California pada akhir 2019, yang mengkategorikan semula pekerja gig (termasuk pekerja bebas) sebagai pekerja sepenuh masa.

Pelaksanaan AB5 membawa kesan yang tidak diingini apabila ia telah menyebabkan kebanyakan pekerja kontrak kehilangan pekerjaan mereka. Ramai pekerja bebas ditamatkan kontrak mereka, sama ada kerana tidak boleh menjamin komitmen terhadap struktur tugas baru, atau kerana syarikat di mana mereka menawarkan perhidmatan tidak boleh menanggung kos tambahan seperti kos insurans kesihatan. Definisi pekerjaan dalam AB5 yang terlalu ketat juga mengehadkan kegiatan komuniti seni yang sebenarnya mahukan lebih banyak fleksibiliti dalam menjalankan tugas mereka.

Setahun selepas penguatkuasaan AB5, Uber, Lyft, Doordash dan syarikat platform gig lain mengemukakan California Proposition 22 (Prop 22), iaitu rang undang-undang bukan kerajaan yang bertujuan meminda AB5 dan menentukan semula status pekerjaan pekerja gig/pekerja bebas. Lebih separuh dari mereka yang mengundi (58%) memilih untuk mentakrifkan semula pekerja gig. Mereka yang merupakan pemandu e-hailing dan penghantar makanan ditakrifkan sebagai kontraktor yang layak mendapat jaminan pendapatan minimum sekurang-kurangnya 120% dari gaji minimum sejam setiap negeri serta  bantuan kesihatan.

Perbahasan dan pertukaran perundangan dari AB5 ke Prop 22 perlu dijadikan peringatan kepada penggubal dasar supaya lebih teliti dengan penggunaan terminologi ‘pekerja gig’. Sokongan dan bantuan yang diperlukan oleh ‘kontraktor bebas’ tidak sama dengan pekerja gig yang lebih bergantung kepada platform gig seperti pengendali penghantaran. ‘Kontraktor bebas’ mungkin memerlukan lebih banyak sokongan dari segi penyediaan kontrak perkhidmatan yang sesuai dan perlindungan dari pelanggan yang tidak bertanggungjawab. ‘Kontraktor bergantung’ lebih banyak memerlukan bantuan seperti liputan jaringan keselamatan sosial yang lebih luas, dan perlindungan dari algoritma platform yang mungkin membebankan mereka.

Laporan Prospek Ekonomi Malaysia 2021 telah menyatakan ekonomi gig sebagai suatu sektor pertumbuhan baru. (Laporan itu juga memetik kajian kami mengenai pekerja gig, di mana kami dapati ia menjadi sumber pendapatan yang penting tetapi pada masa yang sama, pekerja gig tidak mempunyai perlindungan sosial yang mencukupi*). Bagi meneliti isu ini, kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa yang terdiri daripada perwakilan dari Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Belia dan Sukan, dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk mengkaji perundangan untuk melindungi pekerja gig.

*Ketika artikel ini ditulis, pekerja gig hanya layak mendapat perlindungan yang dilanggan secara sukarela, seperti Skim Kecederaan Pekerjaa Sendiri (SEEIS) dan i-Saraan.

Walaupun negara-negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia, terus mengkaji undang-undang berkaitan pekerja gig, satu perkara yang jelas ialah mereka tidak semuanya sama. Berdasarkan hubungan pekerja gig dengan platform gig, jenis kerja gig itu sendiri dan serta tahap kemahiran yang sedia ada, mereka terdedah kepada risiko yang berbeza.

Oleh yang demikian, kerajaan perlu menyediakan terminologi yang khusus untuk setiap segmen pekerja agar untuk dasar dan undang-undang yang sesuai dan berkesan dapat dirumuskan – pembezaan yang diutarakan dalam kajian oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh (ILMIA)  boleh dijadikan titik permulaan yang baik dan boleh digunapakai apabila menggubal dasar pada masa hadapan. 

Crowd work adalah pekerjaan berdasarkan permintaan berasaskan laman web, di mana tugas tersebut boleh dilakukan melalui komputer dari mana-mana. Sebagai contoh, menulis iklan, kerja terjemahan dan coding.

Gig work adalah pekerjaan berdasarkan lokasi yang bergantung kepada platform, di mana individu terpilih dihubungkan dengan tugas oleh platform atau aplikasi berdasarkan permintaan, dan pekerjaan diselesaikan di luar talian. Sebagai contoh, e-hailing, penghantaran makanan dan perkhidmatan rumah tangga.

Sumber: Gani, H. (2020). The gig economy: Platformisation and fragmentation of work. Institute of Labour Market Information and Analysis (ILMIA).

Di tengah-tengah perbincangan dasar mengenai peraturan pekerja gig adalah masalah mengklasifikasikan pekerja dengan keperluan dan cabaran yang berbeza. Bagaimana penggubal undang-undang menentukan dan memahami sifat segmen pekerja yang berbeza akan menentukan sama ada dasar atau perundangan masa depan benar-benar memenuhi keperluan mereka.

Emel pandangan atau cadangan anda ke editorial@centre.my


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS