RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Research Safety Nets

Pekerjaan Gig: Kerja Sampingan atau Kerja Tetap?

Bahagian 1: Realiti komitmen masa kerja ‘gig’

Istilah ‘gig work’ atau pekerjaan gig semakin biasa didengari di kalangan rakyat Malaysia. Kajian ini mendalami peranan pekerjaan gig kepada para pekerjanya dan isu-isu yang berkaitan.

By Edwin Goh & Nelleita Omar20 January 2020


Read English Version

Sejak awal tahun 2010, rakyat Malaysia mula diperkenalkan dengan syarikat perintis e-hailing MyTeksi (kini dikenali sebagai Grab) dan Uber. Perkhidmatan yang ditawarkan platform-platform ini kini tidak asing lagi bagi masyarakat kota. Tahun demi tahun, platform gig dan ekonomi gig semakin berkembang, menjadi sumber pendapatan penting bagi kira-kira 250,000 pekerja gig di seluruh negara (anggaran industri).

Tentu ramai yang masih ingat bagaimana pekerjaan gig di awal kemunculannya hanya dilihat sebagai kerja sampingan atau cara menjana duit poket. Tapi kini, lebih ramai rakyat ‘menyahut seruan dua kerja’ (atau lebih) dengan memanfaatkan peluang yang ditawarkan melalui pekerjaan gig bagi memenuhi keperluan sehari-hari. Bagi yang terlibat, sejauh manakah mereka bergantung kepada pekerjaan gig ? Kami bertanyakan soalan ini dan soalan-soalan lain dalam satu kaji selidik bertujuan untuk memahami kepentingan pekerjaan gig kepada mereka yang melaksanakannya.

Metodologi Kajian

Selama sebulan, antara Oktober 15, 2019 hingga November 16, 2019, The Centre telah menjalankan kaji selidik di kalangan pemandu e-hailing dan pemandu penghantaran, meliputi sebahagian besar pekerja gig. Istilah pekerja gig dalam konteks kajian ini merujuk kepada individu yang menjalankan perkhidmatan berdasarkan permintaan (on-demand services) melalui platform gig digital seperti Grab atau Foodpanda.

Kaji selidik ini diadaptasi dari kajian NatCen (2018), antara lain meliputi pertanyaan tentang tempoh waktu bekerja, sumbangan pendapatan dari pekerjaan gig dan penglibatan dalam skim perlindungan sosial. Kaji selidik ini diedarkan dalam bentuk digital dan salinan cetak secara rawak melalui jaringan peer-to-peer pekerja gig seperti Malaysia E-hailing Drivers Association (MeHDA) dan laman-laman media sosial yang banyak dianggotai oleh pekerja gig.

Setelah mengenepikan responden yang tidak memenuhi kriteria pensampelan, sampel akhir bagi kaji selidik ini berjumlah 411 dari 464 respons yang diterima. Dengan jumlah anggaran populasi pekerja gig antara 250,000 hingga 300,000, ukuran sampel tersebut memberikan aras keyakinan (confidence level) lebih 90% bahawa hasil kajian ini dapat mewakili realiti hari ini.

74% dari responden menawarkan perkhidmatan e-hailing, sementara 26% menawarkan perkhidmatan penghantaran. 94% dari responden adalah lelaki. Dari segi usia, kebanyakan responden terdiri dari golongan belia dan pekerja muda, dengan 6% berusia di antara 18-24; 32% antara 25 – 34 tahun; 36% antara 35 – 44 tahun, 21% antara 45 – 54 tahun dan 6% antara 55 ke atas.

Nota peringatan: Oleh kerana tiada data rasmi merangkumi jumlah sebenar pekerja gig di Malaysia, kaji selidik ini tidak harus diambil sebagai mewakili setiap strata. Pekerja gig dengan kadar celik membaca atau celik digital yang rendah juga mungkin kurang diwakili.

Akhir sekali, seperti kelaziman dalam mana-mana kaji selidik, terdapat bukti dimana responden didapati kurang atau terlebih memberi maklum balas bagi soalan tertentu. Outlier yang dapat dikenalpasti tidak dimasukkan dalam hasil kajian. Dalam kes-kes seperti ini, saiz sampel akhir tetap memberikan tingkat keyakinan lebih 90%.

Kaji selidik ini dibahagikan kepada dua bahagian. Artikel ini, bahagian satu, meliputi kebergantungan pekerja gig kepada pendapatan gig. Bahagian kedua, yang akan diterbitkan kelak, akan merangkumi pandangan pekerja gig tentang perlindungan sosial.

Nota: Sila petik atau ‘mouse-over’ rajah untuk angka.

Apakah kepentingan pendapatan gig kepada pekerja gig?

Kaji selidik kami mendapati dua realiti yang hampir sama besarnya. Bagi 54% responden, pekerjaan gig merupakan pekerjaan atau sumber pendapatan utama mereka (Rajah 1)*

*Nota: Jumlah ini meningkat kepada 64% sekiranya turut mengambil kira respons yang menyatakan pendapatan gig sebahagian punca pendapatan sementara dalam proses mencari kerja lain.


Rajah 1: Peranan pendapatan gig / pekerjaan gig

Sejumlah 45% dari responden memberikan indikasi bahawa pendapatan gig merupakan sumber pendapatan tambahan. Dari jumlah responden, 23% menyatakan bahawa pendapatan gig merupakan pendapatan tambahan kepada pekerjaan utama atau separuh masa; 10% menyatakan ia merupakan sumber pendapatan sementara mencari pekerjaan lain; dan 2% menyatakan ia merupakan sumber pendapatan sambil belajar (Rajah 1).

Sama ada sebagai pendapatan utama atau sampingan, sejumlah 75% dari responden menyatakan pendapatan gig sebagai sumber pendapatan penting (24%) dan sangat penting (51%) (Rajah 2).


Rajah 2: Kepentingan pendapatan gig

Kepentingan pendapatan gig merentasi semua kategori (Rajah 3), menolak persepsi bahawa pekerjaan gig adalah semata-mata kerja sambilan yang dibuat untuk duit poket.


Rajah 3: Kepentingan pendapatan gig berdasarkan peranan pendapatan gig

Berapa tempoh masa dihabiskan oleh pekerja gig untuk pekerjaan gig?

Dari segi tempoh atau komitmen masa, hasil kaji selidik mendapati terdapat tiga kategori utama: 33% bekerja kurang 8 jam sehari, 59% bekerja antara 8 hingga 12 jam sehari, dan 8% menyatakan mereka bekerja lebih dari 12 jam sehari (Rajah 4). Jumlah jam bekerja yang sama dengan pekerjaan sepenuh masa di pejabat ternyata merupakan hal yang biasa bagi majoriti responden kaji selidik ini.


Rajah 4: Purata jam bekerja bagi pekerja gig (sehari)

Jumlah hari kerja yang diluangkan untuk pekerjaan gig juga mirip kerja sepenuh masa. Sebanyak 86% dari responden mendakwa meluangkan masa 5 hari atau lebih dalam seminggu untuk pekerjaan gig: 30% bekerja setiap hari, 37% bekerja 6 hari seminggu, 19% bekerja 5 hari seminggu. Hanya 14% dari responden berkata mereka menghabiskan kurang dari 5 hari dalam seminggu untuk pekerjaan gig  (Rajah 5).


Rajah 5: Purata hari bekerja bagi pekerja gig (seminggu)

Dari hasil penjadualan silang (cross-tabulation) dari jumlah jam kerja dalam seminggu dengan jumlah hari bekerja dalam seminggu, dapat disahkan bahawa sebahagian besar pekerja gig sebenarnya bekerja dengan tempoh masa yang sama ataupun lebih daripada kerja sepenuh masa (bahagian gelap, Rajah 6). Dari keseluruhan jumlah pekerja gig yang menghabiskan masa lima hari atau lebih dalam seminggu untuk pekerjaan gig, lebih dua pertiga (73%) dari mereka bekerja 8 jam atau lebih sehari.


Rajah 6: Jumlah gig hours mengikut hari berdasarkan jumlah gig days dalam seminggu

Sumber: The Centre. N=399. Sebahgian kecil outlier dikecualikan dari analisa ini. Tempoh kajian: 15 October 2019 ke 16 November 2019.

Akta Pekerja 1955 menyatakan bahawa “…Seorang pekerja tidak boleh diminta dibawah perjanjian kerja untuk bekerja…
1. Lebih dari 5 jam berturut-turut tanpa waktu rehat tidak kurang dari 30 minit;
2. Lebih dari 8 jam sehari;
3. Lebih dari 10 jam sehari secara keseluruhan;
4. Lebih dari 48 jam seminggu.”

Sekiranya takrifan Akta Pekerja 1955 untuk kerja ‘sepenuh masa’ (tidak lebih dari 48 jam seminggu) dan kerja ‘separuh masa (30-70% dari jumlah sepenuh masa) digunakan di sini, boleh dirumuskan bahawa 58% responden telah bekerja sepenuh masa dan 19% bekerja separuh masa. Kami mengkategorikan baki 23% responden yang merekodkan kurang dari tempoh bekerja separuh masa dalam seminggu sebagai ‘pekerja sambilan’ (Rajah 7).


Rajah 7: Pecahan pekerja gig ‘sepenuh masa’ ‘separuh masa’ dan ‘sambilan’ (berdasarkan Akta Pekerjaan 1955)

Berapa jumlah pendapatan yang dijana?

Sebahagian besar atau 60% dari pekerja gig yang terlibat dalam kaji selidik ini mengakui mendapat pendapatan kurang dari RM1,000 seminggu dari pekerjaan gig. Sejumlah 30% mendakwa pendapatan kasar antara RM1,000 hingga RM1,999 seminggu, 7% antara RM2,000 hingga RM2,999, dan 3% mendakwa mendapat lebih dari RM3,000 seminggu dari pekerjaan gig (Rajah 8).


Rajah 8: Pendapatan kasar dalam seminggu

Bagaimana pula dengan kos operasi? Setiap responden diminta menyatakan purata kos operasi mereka, antaranya untuk petrol, penyelenggaraan kenderaan dan lain-lain. Seperti dijangka, kos operasi berbeza mengikut jumlah jam dan hari bekerja.

Pendapatan bersih bagi setiap responden dikira berdasarkan maklumat diberikan. 74% dari responden didapati merekodkan kurang dari RM3,000 sebulan, merangkumi 27% pendapatan kurang dari RM1,000, 25% antara RM1,000-RM1,999 dan 22% antara RM2,000-RM2,999 (Rajah 9).


Rajah 9: Kiraan pendapatan bersih dari pendapatan gig

Apabila dibandingkan dengan jumlah jam bekerja (rujuk Rajah 7), didapati bahawa majoriti pekerja ‘sepenuh masa’ menjana pendapatan bersih lebih RM2,000 sebulan (Rajah 10). Jumlah median dan purata pendapatan gig adalah sebanyak RM2,999 dan RM2,300.

Selari dengan jumlah jam mereka bekerja, kebanyakkan pekerja gig separuh masa (64%) dan pekerja gig sambilan (83%) berpendapatan kurang dari RM2,000 sebulan (Rajah 10). Pekerja gig sambilan berpendapatan RM1000 (median) / RM1260 (purata) sebulan, lebih kurang sama dengan median dan purata pendapatan pekerja gig separuh masa, iaitu sekitar RM1200 (median) / RM1597 (purata).


Rajah 10: Perkiraan pendapatan bersih gig bagi setiap kategori, berdasarkan jenis pekerja gig

Bagi sebilangan, satu talian hayat

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, segulung ijazah bukanlah jaminan bagi mendapatkan pekerjaan impian. Terdapat pendapat bahawa ramai graduan terpaksa beralih kepada pekerjaan gig oleh kerana peluang pekerjaan yang semakin merudum.

Hasil kajian bagaimanapun mendapati pekerjaan gig  menjadi talian hayat bagi golongan tanpa ijazah. Hanya 16% dari pekerja gig ‘sepenuh masa’ mempunyai ijazah pertama atau lebih tinggi, sementara 84% pekerja gig sepenuh masa tidak mempunyai ijazah.

Peratusan pemegang ijazah lebih tinggi dalam golongan mereka yang menjalankan pekerjaan gig secara ‘separuh masa’ atau ‘sambilan’ – 23% dan 47% – menunjukkan peranan tambahan pekerjaan gig kepada mereka dengan kelulusan lebih tinggi (Rajah 11).


Rajah 11: Jenis gig worker berdasarkan kelulusan

Dari segi tempoh masa perkhidmatan, mereka yang bekerja sebagai pekerja gig sepenuh masa’ didapati telah menceburi bidang ini untuk tempoh yang lama – 86% selama lebih dari enam bulan, di mana 64% dari jumlah itu merekodkan lebih dari setahun. Hal yang sama dapat dilihat bagi pekerja gig separuh masa di mana 83% juga telah menawarkan perkhidmatan mereka selama lebih enam bulan (Rajah 12).


Rajah 12: Tarikh mula sebagai pekerja gig, berdasarkan kategori pekerja gig

Majoriti pekerja gig sama ada dalam kategori ‘sepenuh masa’, ‘separuh masa’ atau ‘sampingan’ berniat untuk meneruskan perkhidmatan mereka bagi jangkamasa setahun akan datang atau lebih (Rajah 13). Dari respons ini, dapat disimpulkan bahawa walau dengan penguatkuasaan lesen PSV bagi pemandu e-hailing, pekerjaan gig masih dilihat sebagai sumber pendapatan terjangkau, sekurang-kurangnya bagi responden terlibat.


Rajah 13: Niat untuk kekal sebagai pekerja gig , berdasarkan kategori pekerja gig

Pertimbangan dasar

Pemikiran disebalik pekerjaan gig dan ekonomi gig telah terpusat pada konsep kerja yang tidak terikat dan bebas – dimana individu dilihat mampu bekerja mengikut kesesuaian waktu dan situasi masing-masing. Namun, realitinya tidaklah seindah itu. Tekanan ekonomi dan juga amalan-amalan oleh platform gig telah menyumbang kepada perkembangan pekerjaan gig sebagai sumber pendapatan penting bagi sebahagian besar pekerja gig . Hasilnya, wacana pekerja gig sebagai pekerja tidak rasmi ataupun bebas kini boleh dicabar.

Hasil kaji selidik pekerja gig ini mengesahkan satu trend global dimana terdapat dua sisi yang hampir serupa – berdasarkan jumlah jam kerja, 50-60% dari pekerja gig di Malaysia boleh dikategorikan sebagai pekerja gig ‘sepenuh masa’ sementara 40-50% menawarkan khidmat ‘separuh masa’ atau ‘sambilan’ di pelbagai peringkat sebagai pendapatan tambahan. Median gaji bulanan bersih bagi pekerja gig ‘sepenuh masa’ adalah sekitar atau lebih tinggi dari gaji kehidupan wajar (living wage) di Kuala Lumpur, menjadikan pekerjaan gig sebagai pilihan munasabah untuk sumber pendapatan utama bagi ramai golongan, terutama mereka yang tidak mempunyai ijazah. Ini jelas dari lebih 80% dari responden yang menyatakan niat untuk teruskan menjalankan perkhidmatan pekerjaan gig di masa akan datang.

Memandangkan didapati sebahagian besar pekerja gig bekerja jumlah jam yang sama seperti pekerja sepenuh masa, terdapat keperluan untuk melihat jenis-jenis perlindungan sosial yang diperlukan, serta peranan platform gig sebagai pengganti majikan. Selaras dengan ini, pindaan undang-undang yang berkaitan juga diperlukan supaya selari dengan perubahan realiti pekerjaan.

Kami mencadangkan beberapa dasar dalam Bahagian Kedua kaji selidik ini, tertumpu kepada penyertaan pekerja gig dalam skim-skim perlindungan sosial.

Emel pandangan atau cadangan ada ke editorial@centre.my.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS