Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.
Rancangan untuk melaksana lesen “p-hailing” adalah supaya penunggang penghantaran dapat diselia. Dapatkah matlamat ini dicapai melalui pelesenan? Kami renungi.
By Edwin Goh & Nelleita Omar8 February 2021
Jumlah kemalangan jalan raya dan salah laku lalu lintas yang melibatkaan penunggang penghantaran telah menarik perhatian agensi kerajaan dan juga orang ramai. Hal ini juga didorong oleh peningkatan perkhidmatan penghantaran pada masa Perintah Kawalan Pergerakan ("Movement Control Order" atau "MCO") ini.
Hasilnya, pada bulan Ogos 2020, Kementerian Pengangkutan Malaysia telah mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan lesen parcel-hailing ataupun p-hailing dengan tujuan untuk memastikan keselamatan jalan raya serta menyediakan suasana yang memudahkan perjalanan industri p-hailing.
Memandangkan kekerapan berlakunya kemalangan motosikal di Malaysia, persoalan yang ingin kami utarakan adalah: bagaimanakah pengenalan lesen baharu ini dapat menurunkan kadar kemalangan dan meningkatkan keselamatan jalan raya? Selain daripada pertimbangan berkaitan keselamatan jalan raya, apakah pertimbangan lain yang relevan? Akhir sekali, bagaimanakah lesen ini akan memberi kesan kepada mata pencarian penunggang p-hailing yang bilangannya semakin meningkat sejak kebelakangan ini?
Menurut Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, 64% daripada kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2019 melibatkan penunggang motosikal. Kajian terbaharu oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang dilaksanakan pada 11 jalan utama di Kuala Lumpur mendapati bahawa penunggang p-hailing menyumbang kepada 64% (statistik serupa adalah secara kebetulan) daripada jumlah salah laku peraturan lalu lintas yang membabitkan penunggang motosikal. Penemuan ini menunjukkan bahawa terdapat kesan yang ketara daripada penunggang p-hailing terhadap keselamatan jalan raya.
Tetapi bagaimanakah lesen p-hailing mampu mengubah tingkah laku penunggang p-hailing di jalan raya? Kementerian Pengangkutan masih belum memberikan butiran lengkap, tetapi Timbalan Menteri Pengangkutan setakat ini telah menyatakan bahawa lesen p-hailing yang bakal diperkenalkan nanti akan memerlukan penunggang p-hailing untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan memiliki perlindungan insurans kemalangan diri. Jika kita menggunakan lesen e-hailing yang diperkenalkan pada tahun 2018 sebagai petunjuk, lesen p-hailing mungkin akan mensyaratkan bahawa penunggang p-hailing adalah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap, berumur 21 tahun ke atas, mempunyai kelas lesen memandu motosikal yang sewajarnya dan tidak memiliki rekod jenayah. Penunggang p-hailing mungkin juga harus lulus pemeriksaan perubatan, pemeriksaan kenderaan dan ujian pelesenan.
Selain memastikan kebolehpakaian ("road-worthiness" ) kenderaan yang digunakan, adalah kurang jelas bagaimana ciri-ciri yang dinyatakan di atas akan dapat mengubah tingkah laku penunggang p-hailing dan menangani masalah keselamatan jalan raya. Ujian dan video kesedaran kesemuanya merupakan sesuatu usaha tersebut membawa kesan, maka kesemua penunggang motosikal sepatutnya perlu patuh kepada syarat keselamatan lesen p-hailing , demi untuk memastikan keselamatan jalan raya dan pengurangan kemalangan.
Sebarang peraturan seharusnya menangani punca asal atau faktor yang membentuk tingkah laku penunggang p-hailing. Salah satu sebab mungkin mengapa penunggang p-hailing memandu secara berbahaya adalah kerana struktur insentif pekerjaan gig – penghantaran lebih cepat bermaksud lebih banyak pesanan yang dapat dikendalikan dalam setiap jam bagi menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi.
Sekiranya peningkatan keselamatan jalan raya di kalangan penunggang p-hailing merupakan objektif utama, maka adalah lebih berkesan sekiranya agensi kerajaan bersama platform gig bekerjasama untuk mengambil langkah bagi mengesan pemanduan berbahaya, misalnya melalui speedometer dalam aplikasi, serta memasukkan pematuhan peraturan lalu lintas ke dalam dasar ganjaran dan algoritma mereka. Selain itu, langkah keselamatan jalan raya yang lebih umum harus dilaksanakan ke atas kesemua pemandu di jalan raya, seperti meningkatkan bilangan kamera lalu lintas, penguatkuasaan sistem demerit, menyediakan lebih banyak lorong motosikal dan sebagainya.
Lazimnya, lesen pekerjaan merupakan suatu kaedah kawal setia yang digunakan untuk melindungi pengguna daripada penyedia perkhidmatan yang tidak mahir atau tidak bertanggungjawab. Hal ini biasanya diwajibkan untuk pekerjaan yang berpotensi untuk menimbulkan risiko dan kos yang besar kepada pengguna seperti profesional kesihatan, arkitek, peguam dan sebagainya.
Dengan memperkenalkan lesen untuk profesion atau pekerjaan, pihak berkuasa dapat menetapkan syarat kemasukan dan piawaian industri serta melakukan tindakan disiplin dan tatatertib terhadap sebarang salah laku. Dalam hal ini, keputusan untuk mewajibkan lesen pemandu untuk e-hailing dan teksi adalah wajar, kerana mereka mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keselamatan setiap penunggang yang menaiki kenderaan mereka.
Namun adakah penunggang p-hailing mempunyai tanggungjawab yang sama sepertimana pemandu e-hailing ataupun teksi? Penghantaran pesanan makanan yang salah sememangnya menjengkelkan, tetapi ia tidak mengancam keselamatan pengguna. Dalam kes kecurian baranga pula, struktur insentif yang sedia ada dijangka akan dapat menangani masalah tersebut dalam masa yang singkat. Persoalannya sekarang, bagaimanakah pelesenan p-hailing terhadap penunggang penghantaran akan dapat melindungi pengguna?
Lantaran daripada itu, pergunaan lesen p-hailing untuk penunggang penghantaran dapat membawa kepada keadaan kawal selia yang berlebihan. Terdapat juga kemungkinan hal ini akan mengakibatkan kesan yang tidak diingini.
Pertama sekali, jika lesen p-hailing mempunyai syarat usia yang sama dengan lesen e-hailing, perkara ini akan menghalang mereka yang berumur di bawah 21 tahun daripada terbabit dalam bidang penghantaran bungkusan. Sumber kami dari industri menunjukkan bahawa sebilangan besar daripada penunggang penghantaran bungkusan, iaitu sekitar 40% – 60% dari jumlah tenaga kerja keseluruhan, tidak akan layak bekerja jika syarat umur sebegini dilaksanakan. Memandang demografi kumpulan ini – yang mana rata-ratanya tidak mempunyai kelayakan pengajian tinggi, dan berasal dari isi rumah yang berpendapatan rendah – maka ramai di kalangan mereka yang pasti terkesan.
Kedua, apakah kesan lesen p-hailing ini kepada para freelancer yang tidak terikat dengan sebarang platform gig? Sebilangan besar penunggang p-hailing yang bekerja dengan platform gig akan didorong untuk mematuhi peraturan p-hailing kerana platform gig akan memastikan kepatuhan yang sewajarnya. Manakala, penunggang penghantaran yang tidak bekerja dengan platform gig akan terpaksa menanggung beban pematuhan lesen p-hailing secara sendirian, ataupun mungkin sekali, memilih untuk tidak mendapatkan lesen, dan sekaligus beroperasi secara haram.
Tambahan pula, bagi penunggang penghantaran yang tidak bergantung kepada sebarang platform gig, mereka selalunya bekerja dengan syarikat yang kecil dan sederhana. Dengan adanya pelesenan, syarikat-syarikat tersebut mungkin terpaksa untuk menggunakan platform gig untuk keperluaan penghantaran mereka, lantas mengurangkan nisbah keuntungan mereka, mungkin sehingga tahap antara 25% hingga 30%. Bagi syarikat kecil dan sederhana, perbezaan keuntungan sebegini mampu memaksa mereka untuk menggulungkan tikar perniagaan mereka.
Ketiga dan yang terakhir, pengenalan lesen p-hailing juga boleh memberi kesan kepada mereka yang menginginkan pendapatan sampingan melalui pekerjaan gig. Kajian gig, termasuklah penunggang penghantaran, ingin melakukan pekerjaan gig hanya secara sambilan dalam jangkamasa terdekat. Hasil pengalaman dari pelaksanaan lesen e-hailing, kami percaya bahawa pengenalan skim pelesenan p-hailing boleh membantutkan peluang pekerjaan bagi pekerja sambilan akibat daripada halangan tambahan seperti yuran lesen, bahasa yang digunakan dalam pemeriksaan, dan sebagainya.
Pertumbuhan pesat mana-mana kelas atau industri pekerjaan harus disertai dengan peraturan dan penguatkuasaan untuk pengurangkan risiko atau kos berkaitan dengan perkhidmatan tersebut kepada pihak awam. Namun begitu, harus diingatkan bahawa sebarang penyelesaian bagi pekerjaan gig tidak semestinya boleh digunakan secara pukul rata. Pengenalan sesuatu kerangka peraturan yang dihasratkan bagi menangani risiko yang dihadapi oleh satu pekerjaan gig, tidak semestinya boleh diguna pakai bagi pekerjaan gig yang lain. Keperluan pelesenan dan peraturan haruslah disesuaikan kepada risiko yang khusus bagi sesuatu pekerjaan dan perkhidmatan gi yang tertentu, bagi mengelakkan kesan yang tidak diingini kepada pekerja, pengguna, dan industri secara umumnya.
Emel pandangan atau cadangan anda ke editorial@centre.my
The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.