RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Research Safety Nets

Pekerja gig: Anda yang mana satu?

Tanggapan umum tentang pekerja gig ialah mereka terdiri dari golongan pesara atau graduan yang menganggur. Kami ketengahkan profil pekerja gig yang lebih objektif supaya lebih mudah mengenalpasti risiko-risiko berbeza yang mereka hadapi.

By Edwin Goh & Nelleita Omar6 March 2020


Read English Version

Sepanjang Disember 2019 dan Januari 2020, The Centre telah menerbitkan dapatan kajian tentang sektor ekonomi gig. Apa yang kami dapati, realiti kehidupan pekerja gig agak membimbangkan. Dalam bahagian 1, kami melaporkan sebahagian besar, 58%, pekerja gig sebenarnya bekerja secara sepenuh masa. Hasilnya, tanggapan bahawa pekerja gig sebagai pekerjaan sambilan tidak lagi tepat.

Tambahan lagi, persepsi tentang pekerjaan gig sebagai pekerjaan fleksibel dan ‘bebas’ juga menyembunyikan beberapa risiko. Bahagian 2 kajian kami mendapati bahawa 1 dalam 5 pekerja gig tidak mempunyai apa-apa bentuk pelindungan sosial, i.e. simpanan atau insurans. Berbanding dengan pekerja formal, pekerja tidak formal seperti pekerja gig sememangnya tidak mendapat liputan pelindungan sosial yang setara, tetapi tahap pelindungan mereka yang kami dapati dalam kajian ini agak rendah dan merisaukan.

Kami lihat liputan keprihatinan semasa masyarakat tentang pekerja gig lebih tertumpu kepada beberapa stereotaip dan masalah-masalah ekonomi kontemporari seperti graduan menganggur, siswazah yang kekurangan wang sara hidup dan isu pesara. Stereotaip ini juga umumnya diterima di kalangan pembuat dasar. Walau bagaimanapun, kajian kami mendapati bahawa hanya 16% pekerja gig ‘sepenuh masa’ berpendidikan tinggi. Tambahan pula, hanya 12% responden dalam kajian kami terdiri daripada mereka yang berusia antara 18-24 tahun dan orang tua berusia 55 tahun dan ke atas.

Nota: Pendidikan tinggi merujuk kepada graduan dengan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.

Untuk mengubah persepi tentang stereotaip yang sedia ada serta membantu perangka dasar, kami ingin mencadangkan tipologi pekerja gig berdasarkan (a) jam bekerja dan (b) tahap liputan perlindugan sosial. Berdasarkan parameter ini, kami telah mengenal pasti lima jenis pekerja gig.

1. Kumpulan ‘Susah’, yang terdiri daripada 29% dari keseluruhan responden dalam kajian kami, adalah pekerja yang bekerja gig sepenuh masa tetapi tidak memiliki atau mempunyai hanya satu skim pelindungan sosial sahaja. Pelindungan sosial yang dimiliki oleh kebanyakan mereka dari golongan ‘Susah’ ini adalah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SEEIS) yang diwajibkan oleh undang-undang. Setara dengan namanya, kumpulan ‘Susah’ merupakan pekerja gig paling berisiko sekiranya berlaku bencana kewangan.

2. Kumpulan ‘Sederhana’ terdiri daripada 24% responden, dan risiko mereka kurang sedikit berbanding kumpulan ‘Susah’. Mereka bekerja sepenuh masa dan menjana jumlah pendapatan yang setara dengan kumpulan ‘Susah’, tetapi mereka mempunyai 2 hingga 3 jenis pelindungan sosial.

3. Kumpulan ‘Selesa’ pula merupakan 13% dari jumlah responden dan secara relatif, mereka adalah pekerja gig yang mempunyai risiko terendah. Mereka bekerja sepenuh masa, menjana pendapatan bersih yang lebih tinggi dari kumpulan ‘Susah’ dan ‘Sederhana’ dan mempunyai 4 hingga 5 jenis pelindungan sosial.

Majoriti ketiga-tiga jenis pekerja gig ‘sepenuh masa’ ini terdiri daripada pekerja yang berusia dari 35 ke 55 tahun dan tidak mempunyai pendidikan tinggi.

Dua lagi kumpulan pekerja gig adalah mereka yang bekerja sambilan atau separuh masa:

4. Kumpulan ‘Semangat’ merangkumi 17% dari jumlah responden dan merupakan pekerja sambilan yang mempunyai kurang daripada tiga jenis pelindungan sosial.

5. Kumpulan ‘Suka-suka’ turut terdiri daripada 17% responden dan merujuk ke pekerja separuh masa yang mempunyai lebih daripada tiga jenis pelindungan sosial.

Kebanyakan mereka yang termasuk dalam kumpulan ‘Semangat’ (63%) dan ‘Suka-suka’ (61%) juga tidak berpendidikan tinggi, tetapi terdapat lebih banyak graduan universiti di kalangan mereka berbanding pekerja sepenuh masa.


Rajah 1: Tipologi Pekerja Gig

Nota: Bilangan pelindungan sosial ditakrifkan sebagai jumlah jenis skim pelindungan sosial yang dimiliki atau disertai responden dari senarai pelindungan sosial yang kami nyatakan, iaitu simpanan kecemasan, simpanan persaraan/untuk hari tua, insurans kesihatan peribadi, insurans keselamatan semasa bekerja, dan insurans pekerjaan.

Tipologi pekerja gig kami bertujuan untuk memberi tumpuan kepada kumpulan pekerja yang paling berisiko, iaitu ‘Susah’ dan ‘Sederhana’ yang bekerja sepenuh masa tetapi mempunyai liputan pelindungan sosial yang terhad.  Tetapi tidak kira sama ada sebagai pekerja sambilan atau sepenuh masa, sudah tiba masa untuk kita mengubah stereotaip dan andaian terhadap pekerja gig.

Kerja gig bukanlah satu cara untuk menjana duit poket bagi penganggur graduan dan pesara. Sebaliknya, kita perlu lebih prihatin dan memberi tumpuan kepada pekerja dewasa yang tidak berpendidikan tinggi yang bekerja lebih daripada 8 jam sehari, 6 hingga 7 hari seminggu.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS