Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.
Bagaimana untuk memastikan penyertaan pekerja dalam skim perlindungan sosial seperti KWSP dan sebagainya? Kami berpendapat bahawa penyertaan skim secara sukarela tidak berkesan dan mencadangkan pendekatan alternatif.
By Edwin Goh & Nelleita Omar9 July 2020
Bahagian 2 kajian pekerja gig kami yang diterbitkan awal tahun ini telah membentangkan penemuan bahawa pekerja gig kurang mempunyai perlindungan sosial. Kajian kami yang disertai lebih daripada 400 pemandu e-hailing dan penghantaran mendedahkan bahawa 76% daripada mereka tidak mempunyai insurans kehilangan pekerjaan (seperti EIS), 59% responden tidak mempunyai simpanan untuk kecemasan, 59% tidak mempunyai tabungan hari tua atau persaraan, 57% tidak mempunyai insurans kesihatan peribadi dan 37% tidak mempunyai insurans kecederaan atau kemalangan semasa bekerja (Rajah 1). Secara keseluruhannya, satu dalam lima pekerja gig yang ditinjau tidak mempunyai apa-apa bentuk simpanan atau perlindungan sosial.
Satu kajian World Bank pada tahun 2019 juga mendapati bahawa kebanyakan pekerja tidak formal di Malaysia tidak mempunyai perlindungan sosial yang mencukupi. Salahsatu sebabnya adalah pendekatan berdekad lama terhadap pendaftaran skim-skim perlindungan sosial yang berasaskan pekerjaan, di mana majikan akan mendaftarkan pekerja sepenuh masa dalam skim simpanan persaraan di bawah KWSP dan insurans keselamatan pekerja di bawah PERKESO. Sesetengah majikan juga memberi subsidi atau memberi insurans kesihatan swasta kepada pekerja sepenuh masa.
Pendekatan ini adalah sesuai dan mencukupi jika kebanyakan pekerjaan dalam pasaran adalah pekerjaan formal atau sepenuh masa. Walau bagaimanapun, trend pekerjaan masakini semakin ke arah pekerjaan gig atau pekerjaan bebas. Data tenaga buruh Malaysia menunjukkan bahawa peratusan pekerjaan tidak formal atau ‘pekerja akaun sendiri’ telah meningkat daripada 17.4% pada tahun 2008 kepada 19.4% pada tahun 2018 (Rajah 2).
Nota: Artikel ini akan menggunakan istilah pekerja bekerja sendiri, pekerja akaun sendiri, pekerja tidak formal dan pekerja bebas secara bergantian.
Menurut Khazanah Research Institute (KRI), trend pekerja tidak formal yang semakin meningkat di Malaysia mengisyaratkan satu transformasi asas dalam pasaran tenaga buruh. Dan jika pekerjaan bebas atau pekerjaan ‘gig’ menjadi pekerjaan utama sebahagian besar pekerja di Malaysia, pendekatan semasa terhadap perlindungan sosial akan menjadi semakin tidak berkesan untuk melindungi pekerja. Mutakhir ini, hanya 38% pekerja Malaysia dilindungi oleh skim persaraan KWSP atau skim pencen awam; majoriti daripada 62% pekerja yang tidak dilindungi adalah pekerja yang bekerja sendiri.
Sebagai tindak balas kepada trend pekerjaan sendiri dan pekerjaan gig, kerajaan di seluruh dunia telah mula melaksanakan penambahbaikan dasar bagi melindungi pekerja tidak formal. Di Malaysia, antara langkah-langkah tersebut adalah pelancaran Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SEEIS) di bawah PERKESO dan Skim i-Saraaan di bawah KWSP.
SEEIS adalah skim insurans kecederaan dan kemalangan di tempat kerja manakala i-Saraan adalah skim simpanan persaraan; kedua-duanya adalah untuk pekerja yang bekerja sendiri. Menurut Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 SEEIS adalah mandatori bagi sebahagian jenis atau kumpulan pekerja sendiri. Skim i-Saraan merupakan skim sukarela.
Maksud ‘mandatori’ di sini bermakna pekerja sendiri tersebut mesti menyertai skim ini. Namun begitu, mereka tidak akan didaftarkan secara automatik. Ini adalah titik yang halus tetapi penting. Skim yang mandatori atau wajib, tanpa pendaftaran automatik, meletakkan tanggungjawab untuk mendaftar dan menyumbang kepada skim tersebut pada pekerja itu sendiri. Memandangkan sifat manusia, kebanyakan pekerja sendiri tidak akan mendaftar untuk skim tersebut secara proaktif atau sukarela.
Pendekatan berbentuk mandatori hanya berkesan jika penguatkuasaan adalah ketat (contoh: pengutipan cukai pendapatan). Tanpanya, pendaftaran ke dalam sebarang skim perlindungan sosial akan kekal rendah. Dengan itu, tidak menghairankan bahawa walaupun SEEIS adalah ‘mandatori’, hanya 18% daripada kira-kira 250,000 pemandu e-hailing dalam negara yang menyertai skim tersebut. Malah, untuk mencapai kadar ini sahaja, pemantauan pematuhan turut melibatkan lawatan pemeriksaan, amaran dan tindakan mahkamah.
Oleh demikian, pendekatan berpaksikan pendaftaran automatik serta caruman automatik putat dipertimbangkan dengan serius dan mendalam.
Pendekatan ini telah diambil dalam beberapa program keselamatan sosial di seluruh dunia bagi memastikan penyertaan dan litupan yang lebih meluas. Satu kajian oleh Clark dan Young di Vanguard mendapati bahawa kadar penyertaan dalam pelan penjimatan dan pelaburan meningkat hampir dua kali ganda dengan pendaftaran serta caruman automatik berbanding pelan berbentuk sukarela. Pelaksanaan pendaftaran serta caruman automatik sesuai terutamanya dengan platform gig kerana syarikat tersebut sudahpun mempunyai infrastruktur data serta saluran kewangan yang mencakupi ribuan pekerja sendiri.
Kajian pekerja gig kami menunjukkan bahawa kebanyakan pekerja gig sanggup membenarkan platform gig memotong daripada pendapatan gig mereka untuk pelbagai jenis skim perlindungan sosial. Bagaimanakah kita boleh meningkatkan kadar penyertaan sebenar dalam skim perlindungan sosial seperti i-Saraan dan juga SEEIS yang ‘mandatori’? Selain daripada pendaftaran automatik, reka bentuk caruman juga penting. Mungkin lebih sesuai jika caruman dibuat dengan jumlah yang kecil dari minggu ke minggu supaya tidak terlalu dirasai, berbanding caruman setiap bulan yang akan dirasai dengan ketara.
Bolehkah skim perlindungan sosial sukarela melindungi pekerja tidak formal secara mencukupi? Di negara lain, telah mula muncul inisiatif di mana pekerja tidak formal bekerjasama dan berunding untuk mendapatkan perlindungan sosial. Contohnya, Freelancers Union di Amerika Syarikat telah berunding dengan syarikat insurans untuk menubuhkan Trupo yang menawar insurans kemalangan semasa bekerja dan pergigian dengan premium yang rendah kepada ahli persatuan mereka. Begitu juga New York Taxi Workers Alliance di Amerika Syarikat yang merunding berdasarkan saiz kesatuan mereka untuk memperoleh kadar diskaun bagi perkhidmatan undang-undang, kewangan dan khidmat kesihatan untuk ahli-ahlinya.
Di Malaysia, Malaysia e-Hailing Drivers Association (MeHDA) telah memanfaatkan saiz organisasinya untuk menawarkan kadar lebih rendah untuk perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan dari bengkel terpilih. MeHDA juga sedang berunding dengan syarikat kereta untuk menawarkan kadar sewa kereta yang lebih murah kepada pemandu e-hailing. Langkah-langkah ini masih jauh lagi daripada apa yang diperlukan sebagai perlindungan sosial, namun cara pendekatannya mungkin dapat dipanjangkan kepada skim-skim perlindungan sosial di masa depan.
Beberapa platform gig juga cuba memikul membantu di bawah sepanduk ‘tanggungjawab korporat;’. Apabila undang-undang Assembly Bill 5 diluluskan di California, Amerika Syarikat, platform gig Uber, Lyft dan platform lain telah mengumpulkan dana sebanyak USD100 juta dan menjanjikan perlindungan pekerja termasuk ‘jaminan pendapatan bersih’ untuk pemandu yang merekodkan 20 jam kerja seminggu.
Di Malaysia pula, Grab Malaysia telah bekerjasama dengan KWSP untuk mempromosikan program simpanan persaraan sukarela i-Saraan dengan tambahan 5% (maksima RM80 setahun) atas sumbangan tahunan pemandu.
Namun begitu, pemerhati industri ada mendedahkan kepada kami bahawa penyertaan dalam inisiatif tersebut, walaupun dengan insentif yang ditawarkan, adalah sangat rendah. Ia berbalik kepada hujah asal kami: apabila liputan sesuatu skim perlindungan bergantung kepada inisiatif dan kemahuan pekerja untuk menyertai, ia tidak akan merealisasikan potensi skim itu. Pendekatan yang serasi dengan sifat manusia dalam hidupan harian adalah amat penting bagi memastikan penyertaan meluas.
Pendekatan cara sukarela atau mandatori untuk mendaftar dalam skim-skim perlindungan sosial telah, setakat ini, menunjukkan batasnya.
Bagi meningkatkan liputan sistem perlindungan sosial terutamanya atas pekerja gig dan pekerja bebas lain, kami boleh memodelkan Skema Keselamatan Sosial Umum Perancis. Skim ini mendaftar sesiapa yang berusia 16 dan ke atas secara automatik dengan memberikan nombor keselamatan sosial. Skim ini memberikan pelbagai jenis perlindungan termasuk perkhidmatan kesihatan, insurans keselamatan pekerja, dan faedah-faedah untuk persaraan dan keluarga.
Dengan sistem ini, adalah menjadi tanggungjawab setiap majikan untuk memastikan bahawa caruman ditolak secara automatik setiap kali pekerja dibayar.
Masa terbaik untuk menaiktaraf sistem perlindungan sosial negara adalah sekarang. Malaysia harus mengambil tindakan segera terhadap trend informalisasi pasaran tenaga buruh. Walaupun kami menyokong usaha sektor swasta dalam menggalak pendaftaran dalam skim perlindungan sosial secara sukarela, tetapi malangnya ia bukan penyelesaian yang mencukupi.
Kami menyokong usaha untuk melaksanakan sistem pendaftaran dan potongan automatik bagi memastikan liputan perlindungan sosial untuk semua pekerja.
Emel pandangan atau cadangan anda ke editorial@centre.my.
The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.