RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Research Safety Nets

Generasi Berhutang, Bahagian 4

Tinjauan Pandangan Peminjam Pinjaman Pendidikan Tinggi

Kami akhiri siri penyelidikan ini dengan dapatan kaji selidik yang menerangkan kesan pinjaman pendidikan terhadap peminjam dan pandangan mereka tentang pinjaman pendidikan di Malaysia.

By Ooi Kok Hin & Edwin Goh2 June 2022


Read English Version

Tahun lepas, kami memulakan sebuah siri penyelidikan untuk meneliti masalah hutang pinjaman pendidikan tinggi di Malaysia, dan mengesyorkan beberapa perubahan dasar pokok ke arah menyelesaikan masalah berkaitan pinjaman tertunggak serta isu-isu sistemik jangka panjang. 

Dalam Bahagian 1 siri penyelidikan ini, kami merumuskan beberapa isu berbangkit. Sejak penubuhan PTPTN pada tahun 1997, sebanyak RM62.5 bilion yang berupa pinjaman pendidikan telah dikeluarkan kepada 3.5 juta peminjam. Kejayaan kaedah pembiayaan ini bergantung pada pulangan positif yang luas dan konsisten daripada pendidikan tinggi. Walau bagaimanapun, prospek mobiliti sosial daripada pendidikan tinggi tidak direalisasikan secara sama rata, lalu memberi tekanan kepada pendekatan dasar ini.

Dalam Bahagian 2, kami mengutarakan tiga cadangan dasar baru untuk menangani isu berkaitan hutang pinjaman pendidikan yang tertunggak pada masa sekarang: penghapusan hutang bersasar, pembayaran balik berasaskan pendapatan, dan pengawasan yang lebih ketat terhadap operasi dan pembiayaan PTPTN. Pembahagian peminjam sedia ada mengikut keupayaan mereka untuk membayar balik pinjaman merupakan tonggak utama kepada cadangan-cadangan kami.

Dalam Bahagian 3, kami melontarkan cadangan dasar yang berpandangan jauh untuk memperbaharui cara rakyat Malaysia membiayai pendidikan tinggi mereka. Kami berhujah agar penggubal dasar menghayati perubahan semasa lanskap pendidikan tinggi dan menggubal dasar yang berkembang mengikut keperluan terkini. Ini termasuk mengurangkan penekanan pada ijazah tradisional dan mengembangkan fokus kepada TVET dan kelayakan mikro, beralih daripada kaedah pinjaman kepada pemberian subsidi terus untuk pelajar daripada isi rumah yang kurang bernasib baik, dan menyediakan akaun pembelajaran sepanjang hayat individu untuk setiap rakyat Malaysia.

Dalam bahagian terakhir siri ini, kami kongsikan dapatan daripada tinjauan peminjam pinjaman pendidikan tinggi kami. Tinjauan ini bertujuan untuk memahami pandangan peminjam mengenai pinjaman pendidikan dan kesan pinjaman tersebut terhadap kehidupan mereka. Majoriti responden tinjauan bersetuju bahawa pinjaman pendidikan merupakan ‘harga yang berbaloi’ untuk mencapai kelayakan pengajian tinggi. Namun begitu, mereka juga amat menyokong cadangan-cadangan dasar progresif seperti pemberian subsidi terus kepada pelajar yang kurang bernasib baik, dan pembayaran balik berasaskan pendapatan individu. Pada masa yang sama, kami mendapati ramai responden masih kurang pengetahuan tentang cara PTPTN, yakni penyedia pinjaman pendidikan terbesar di negara, menjalankan operasi pinjamannya. Dapatan-dapatan lain yang signifikan akan diperincikan dengan lebih lanjut di bawah.


Mengenai kaji selidik ini

Tinjauan ini telah dijalankan melalui soal selidik dalam talian, diedarkan menggunakan kaedah persampelan mudah, antara 3 Ogos hingga 17 September 2021, dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. 

Memandangkan kaedah persampelan kami bukanlah persampelan rawak berstrata, dapatan kajiselidik ini mesti dibaca dengan pertimbangan tersebut. Berdasarkan respons yang telah kami terima sepanjang tinjauan, kami menganggarkan bahawa responden lebih condong untuk terdiri daripada orang bandar, tetapi agak representatif dari segi demografi lain seperti umur dan jantina. Walau bagaimanapun, kami mengakui bahawa anggaran ini hanya boleh disahkan dengan akses kepada pangkalan data peminjam, yang kini tidak dapat diakses oleh orang awam dan para penyelidik.

Sebanyak 356 respons telah diperoleh sepanjang tempoh kajian yang mana 53 terpaksa diabaikan kerana status mereka sebagai bukan peminjam dan dua lagi dikecualikan kerana maklumat responden yang tidak konsisten, menjadikan 301 sampel respons yang boleh digunapakai.

55% daripada responden kami adalah perempuan. 73% responden berumur antara 25-40 tahun, 19% berumur antara 17-24 tahun, dan 8% berumur antara 41-55 tahun. Dari segi kumpulan etnik, 71% adalah Melayu, diikuti oleh 12% Cina, 9% India, dan 5% Bumiputera bukan Melayu. Dari segi geografi, 64% responden tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur.


Pekerjaan, corak pendapatan dan perbelanjaan kewangan

Majoriti responden bekerja dalam sesuatu kapasiti. 68% daripada responden adalah pekerja sepenuh masa, manakala 11% lagi bekerja sebagai pekerja sambilan, pekerja bebas atau usahawan; 2% adalah suri rumah sepenuh masa. Daripada mereka yang tidak bekerja, 7% sedang menganggur dan 12% masih belajar. (Rajah 1).

Rajah 1: Status pekerjaan

Berkenaan pendapatan semasa, selepas mengecualikan mereka yang masih belajar, 9% responden menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai pendapatan bulanan tetap, 16% berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan, dan 36% berpendapatan antara RM2,000 dan RM4,000 sebulan (Rajah 2). Secara keseluruhan, 61% responden berpendapatan di bawah RM4,000 sebulan.

Rajah 2: Pendapatan bulanan semasa

Majoriti responden, 67%, adalah pekerja yang masih dalam peringkat awal kerjaya mereka dengan pengalaman kerja 7 tahun dan ke bawah. 38% responden melaporkan bekerja kurang daripada 3 tahun, 29% bekerja antara 3-7 tahun, 11% bekerja 7-10 tahun, dan 22% bekerja lebih daripada 10 tahun (Rajah 3).

Rajah 3: Tahun pengalaman bekerja

Dari segi peningkatan pendapatan (sekali lagi selepas mengecualikan mereka yang masih belajar), 42% responden melaporkan tren pendapatan yang semakin meningkat – satu dapatan penting yang mencerminkan secara positif perkembangan kerjaya dan pulangan ke atas pendidikan tinggi. Walau bagaimanapun, terdapat 44% responden yang ketara melaporkan bahawa pendapatan mereka agak tidak berubah sejak mereka mula bekerja. Terdapat sebilangan minoriti yang melaporkan tren pendapatan yang membimbangkan: sekitar 10% melaporkan pendapatan tidak stabil, 2% melaporkan tiada pendapatan dan 3% melaporkan pendapatan menurun (Rajah 4). 

Rajah 4: Corak pendapatan responden

Kesan COVID-19 ke atas kelangsungan hidup para peminjam juga patut diberi perhatian: 52% responden melaporkan bahawa pandemik tidak memberi kesan kepada pendapatan mereka, manakala 13% menyaksikan pendapatan mereka meningkat dalam tempoh ini. Namun, di kalangan mereka yang pendapatannya telah terjejas, kerugian yang ditanggung adalah besar: 8% menyaksikan pendapatan mereka merosot sekurang-kurangnya 30%, dan 11% lagi hilang pekerjaan (Rajah 5).

Rajah 5: Kesan pandemik Covid-19 terhadap pendapatan

Majoriti kecil responden, 54%, mempunyai sekurang-kurangnya satu tanggungan kewangan seperti pasangan yang tidak bekerja, anak atau ibu bapa (Rajah 6).

Rajah 6: Bilangan tanggungan kewangan

Selain daripada pinjaman pendidikan, kira-kira 67% peminjam melaporkan mereka turut memberi bantuan kewangan kepada ibu bapa mereka. 45% daripada mereka mempunyai pinjaman kenderaan, dan 30% mempunyai hutang kad kredit untuk dibayar. 25% mempunyai pinjaman perumahan, dan 21% juga mempunyai pinjaman peribadi (Rajah 7).

Rajah 7: Jenis komitmen kewangan


Tujuan dan amaun pinjaman yang diambil

Sebilangan besar responden (74%) mengambil hanya satu pinjaman pendidikan, walaupun terdapat sejumlah responden yang mengambil dua pinjaman pendidikan (25%) dan sebahagian minoriti yang mengambil tiga pinjaman pendidikan (1%).

Rajah 8: Bilangan pinjaman pendidikan

Pinjaman tersebut kebanyakannya digunakan untuk membiayai ijazah sarjana muda, diikuti oleh pra-universiti dan diploma (Rajah 9).

Rajah 9: Peringkat kursus yang dibiayai oleh pinjaman pendidikan

Majoriti responden belajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berbanding institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institusi luar negara. Bagi mereka yang belajar di luar negara, lazimnya ia adalah untuk kursus ijazah dan pensijilan profesional/teknikal (Rajah 10).

Rajah 10: Jenis institusi yang dibiayai pinjaman mengikut peringkat kursus

Menariknya, amat ramai responden yang berjaya menamatkan program pengajian mereka (88%). Hanya 2% sahaja yang gagal menamatkan program mereka manakala baki 10% responden masih belajar (Rajah 11).

Rajah 11: Kadar tamat pengajian

Dari segi penyedia pinjaman, PTPTN merupakan sumber terbesar pinjaman pendidikan. 82% responden melaporkan bahawa mereka meminjam daripada PTPTN, diikuti oleh 14% daripada MARA dan 8% daripada kerajaan negeri (Rajah 12).

Rajah 12: Sumber pinjaman pendidikan

Dari segi amaun pinjaman, 82% responden meminjam kurang daripada RM60,000. Ini adalah konsisten dengan purata saiz pinjaman yang dinyatakan oleh pengerusi PTPTN sebelum ini. 10% responden meminjam kurang daripada RM15,000, 41% meminjam antara RM15,001 hingga RM30,000, manakala 31% lagi meminjam antara RM30,001 hingga RM60,000; terdapat 7% responden yang meminjam lebih daripada RM100,000 (Rajah 13).

Rajah 13: Amaun pinjaman pendidikan

Dari segi tempoh masa untuk membayar balik pinjaman pendidikan mereka (mengikut perjanjian pinjaman), 34% responden menyatakan bahawa mereka perlu membayar balik dalam tempoh 5-10 tahun dan 34% lagi menyatakan mereka perlu membayar dalam tempoh 10-20 tahun. 16% melaporkan bahawa mereka perlu membayar hutang mereka dalam tempoh 20-30 tahun dan baki 8% melaporkan bahawa mereka akan mengambil masa lebih daripada 30 tahun untuk membayar balik pinjaman pendidikan mereka (Rajah 14). Untuk rekod, PTPTN membenarkan para peminjam menstruktur semula pinjaman mereka dan ini membolehkan peminjam untuk memanjangkan tempoh bayaran balik sehingga mereka mencapai umur 60 tahun.

Rajah 14a: Tempoh pinjaman pendidikan

Rajah 14b: Tempoh pinjaman pendidikan mengikut amaun pinjaman

Bayaran bulanan peminjam bergantung pada saiz pinjaman dan tempoh pembayaran balik mereka. Majoriti besar responden, 72%, membayar antara RM100 dan RM300 sebulan. Secara spesifiknya, 8% membayar kurang daripada RM100 sebulan, 45% responden membayar antara RM100 dan RM200 sebulan, 27% membayar antara RM200 dan RM300 sebulan, 11% membayar antara RM300 dan RM400 sebulan, 5% membayar antara RM 400 dan RM 500 sebulan, dan 4% membayar lebih daripada RM500 sebulan (Rajah 15).

Rajah 15: Bayaran balik pinjaman bulanan

Perkara ini tidak menjadi masalah apabila pendapatan peminjam sepadan dengan bayaran bulanan dan jumlah hutang mereka; secara amnya peminjam dengan ansuran pinjaman bulanan yang tinggi cenderung memperoleh pendapatan yang lebih tinggi (Rajah 16). Walau bagaimanapun, terdapat segmen graduan yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 atau tiada pendapatan yang menghadapi cabaran membuat bayaran bulanan. Hairannya, dalam kalangan kumpulan berpendapatan tinggi (lebih daripada RM7,000 sebulan), sebanyak 38% daripada mereka hanya membayar RM200 atau ke bawah. Dapatan ini boleh menyokong cadangan kami untuk menetapkan amaun bayaran balik berdasarkan pendapatan peminjam.

Rajah 16: Bayaran balik pinjaman bulanan mengikut pendapatan

41% daripada responden pernah berunding untuk menstruktur semula pembayaran balik pinjaman mereka sekurang-kurangnya sekali – jumlah yang agak tinggi. Semakin besar saiz pinjaman mereka, semakin besar kemungkinan peminjam akan menstruktur semula pembayaran balik pinjaman mereka. Kira-kira 75% daripada responden yang meminjam lebih daripada RM100,000 menyusun semula pembayaran pinjaman mereka, diikuti oleh 46% daripada mereka yang meminjam antara RM60,001 hingga RM100,000, 40% daripada mereka yang meminjam antara RM30,001 hingga RM60,000, 40 % daripada mereka yang meminjam antara RM15,001 hingga RM30,000, dan hanya 20% di kalangan mereka yang meminjam kurang daripada RM15,000 (Rajah 17).

Rajah 17: Penstrukturan semula pinjaman mengikut amaun pinjaman

Dari segi pendapatan, agak mengejutkan apabila terdapat lebih ramai responden dalam kalangan kumpulan berpendapatan tertinggi yang menstruktur semula pinjaman mereka (49% antara mereka yang memperoleh lebih daripada RM7,000 sebulan) berbanding kumpulan berpendapatan terendah (26% antara mereka yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan) (Rajah 18)*. Ini mungkin disebabkan oleh dua perkara: mereka yang berpendapatan tinggi lebih mampu untuk mengambil kesempatan diskaun PTPTN untuk membuat pembayaran balik dalam jumlah yang besar lalu menstruktur semula untuk menyelesaikan pinjaman mereka dengan lebih cepat, manakala mereka yang berpendapatan rendah lebih berkemungkinan lalai (defaulted) berbanding menstruktur semula pinjaman mereka.

*Corak ini juga berlaku apabila kita membandingkan kumpulan pendapatan kedua tertinggi dan kumpulan pendapatan kedua terendah. Pengecualian adalah mereka yang tidak melaporkan pendapatan bulanan – kira-kira 50% daripada mereka menstruktur semula pinjaman mereka.

Rajah 18: Penstrukturan semula pinjaman mengikut pendapatan

Dari segi kadar pembayaran balik, yang sering menjadi isu hangat yang mencetuskan naratif berita yang berbeza, tinjauan kami selari dengan kenyataan PTPTN sebelum ini: walaupun terdapat sebahagian minoriti peminjam yang lalai, majoriti membayar balik pinjaman mereka. 60% daripada responden boleh dikategorikan sebagai mereka yang berada pada kedudukan yang baik kerana mereka sama ada telah membayar balik pinjaman mereka sepenuhnya atau sedang membayar secara konsisten seperti yang dijadualkan dalam perjanjian mereka. 20% boleh dikategorikan sebagai peminjam yang membayar secara tidak konsisten dan 8% boleh dikategorikan sebagai penghutang lalai yang tidak pernah membayar balik pinjaman mereka. Baki 12% daripada responden belum dijadualkan untuk memulakan pembayaran balik (Rajah 19).

Rajah 19: Status bayaran balik

Melihat corak penghutang lalai dengan lebih mendalam, dapatan kami sebahagian besarnya menyokong tinjauan PTPTN yang terdahulu (disebutkan dalam penerbitan ini) bahawa kebanyakan penghutang lalai cenderung datang daripada kumpulan berpendapatan rendah. Bagi mereka yang membuat pembayaran tidak konsisten, 46% melaporkan tidak mempunyai pendapatan semasa atau berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan manakala 29% lagi memperoleh antara RM2,000 dan RM4,000 sebulan. Bagi mereka yang tidak pernah membuat pembayaran balik, 36% melaporkan tiada pendapatan bulanan pada masa ini dan 32% lagi berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Namun begitu, terdapat juga sebahagian daripada mereka yang membuat pembayaran tidak konsisten yang datang dari kumpulan berpendapatan tinggi: 14% memperoleh pendapatan antara RM4,000 dan RM7,000 sebulan, dan 12% lagi daripada mereka memperoleh lebih daripada RM7,000 sebulan (Rajah 20).

Rajah 20: Status bayaran balik mengikut pendapatan

Untuk lebih memahami motivasi di sebalik tindakan mereka membayar atau tidak membayar balik pinjaman mereka, kami meminta responden supaya menanda beberapa kenyataan yang menjelaskan tindakan mereka. Tiga sebab utama yang dilaporkan mengapa peminjam yang berada pada kedudukan baik membayar pinjaman mereka adalah: mereka berasa bertanggungjawab untuk membayar hutang mereka (94%), mereka tidak suka berhutang (93%), dan mereka ingin mengelakkan penalti (87%) (Rajah 21).

Rajah 21: Motivasi untuk pembayaran balik yang konsisten

Dalam kalangan mereka yang tidak membayar balik atau membayar secara tidak konsisten, tiga sebab utama yang dilaporkan mengapa mereka berbuat demikian adalah: mereka tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk menampung kos sara hidup dan tanggungan yang lain (75%), mereka sedang menunggu menunggu pengumuman atau janji pilihan raya untuk mengurangkan hutang pinjaman atau bayaran balik (73%), dan mereka percaya adalah tidak adil untuk membayar kos sebanyak ini untuk pendidikan tinggi (71%) (Rajah 22).

Rajah 22: Motivasi untuk pembayaran yang tidak konsisten / lalai

Pendapatan peminjam yang merupakan “Pelajar Generasi Pertama” berbanding kumpulan yang lain

59% responden dikenal pasti sebagai graduan generasi pertama. Maksudnya, kedua-dua ibu bapa mereka tidak memiliki ijazah universiti dan mereka adalah yang pertama dalam keluarga mereka yang berjaya menamatkan pengajian tinggi. Walaupun ini membuktikan bahawa pinjaman pendidikan tinggi memanfaatkan pelajar generasi pertama dan membolehkan mereka melanjutkan pengajian tinggi, mereka didapati memperoleh pendapatan yang lebih rendah, sebagai satu kumpulan, berbanding peminjam yang bukan merupakan pelajar generasi pertama (iaitu mereka yang mempunyai ibu bapa berkelayakan pendidikan tinggi.).

Lebih ramai responden daripada generasi pertama yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan (20%) berbanding responden yang bukan generasi pertama (11%). Terdapat juga lebih ramai responden generasi pertama yang melaporkan tidak mempunyai pendapatan bulanan pada masa ini berbanding responden bukan generasi pertama. Ringkasnya, walaupun pencapaian pendidikan tinggi adalah penting, kelayakan pendidikan ibu bapa juga merupakan salah satu faktor penentu kepada keupayaan pendapatan peminjam.

Rajah 23: Pendapatan peminjam generasi pertama berbanding kumpulan lain

Kesan dan persepsi terhadap pinjaman pendidikan

Selain profil dan pinjaman mereka, kami juga bertanya kepada responden bagaimana mereka melihat nilai pinjaman pendidikan, kesan pinjaman pendidikan terhadap kedudukan kewangan mereka dan sama ada dasar pinjaman pendidikan hari ini perlu diteruskan atau diubah. 

Apabila kami bertanya kepada responden sama ada mereka merasakan pendidikan atau kelayakan yang mereka terima berbaloi dengan kos pinjaman pendidikan, majoriti 59% melaporkan bahawa ia berbaloi (Rajah 24). Kira-kira 22% berasa neutral dan baki 20% berpandangan bahawa ia tidak berbaloi.

Rajah 24: Persepsi nilai pendidikan berbanding pinjaman pendidikan

Apabila kami meneliti data tersebut mengikut corak pendapatan, mereka yang berpendapatan rendah lebih cenderung melaporkan bahawa pendidikan tinggi mereka tidak berbaloi dengan hutang pinjaman yang ditanggung berbanding mereka yang berpendapatan tinggi. Peminjam yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan atau tidak mempunyai pendapatan bulanan pada masa ini lebih berkemungkinan melaporkan bahawa pendidikan mereka tidak berbaloi dengan hutang pinjaman pendidikan yang ditanggung berbanding dengan responden yang berpendapatan lebih tinggi (Rajah 25).

Rajah 25: Persepsi nilai pendidikan mengikut pendapatan

Apabila kami membandingkan persepsi nilai pendidikan mengikut jenis institusi untuk ijazah sarjana muda – peringkat kursus paling popular di kalangan responden kami – kami mendapati mereka yang berada di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan lebih berkemungkinan melaporkan bahawa pendidikan mereka berbaloi dengan pinjaman pendidikan berbanding dengan rakan sebaya mereka di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan. Mereka yang mengambil pinjaman untuk membiayai kursus ijazah sarjana muda di IPTS juga cenderung sedikit untuk menyatakan bahawa pendidikan mereka tidak berbaloi dengan hutang pinjaman. Satu lagi dapatan menarik adalah mereka yang belajar di institusi pengajian tinggi luar negara lebih cenderung untuk melaporkan bahawa pendidikan mereka berbaloi dengan pinjaman berbanding dengan mereka yang belajar di institusi pengajian tinggi tempatan.

Rajah 26: Persepsi nilai pendidikan mengikut jenis institusi pendidikan (ijazah sarjana muda sahaja)

Agak memeranjatkan, jumlah responden yang melaporkan pernah dikenakan penalti pinjaman adalah sedikit rendah (Rajah 27). Hanya 11% mengatakan mereka pernah tidak dapat melakukan perjalanan ke luar negara kerana disenaraihitamkan oleh imigresen selepas tidak membayar balik pinjaman pendidikan mereka. 4% melaporkan pernah disaman kerana tidak membayar balik pinjaman pendidikan, dan 2% lagi melaporkan bahawa mereka pernah diisytiharkan muflis oleh mahkamah kerana tidak membayar balik pinjaman pendidikan mereka. 24% melaporkan kesukaran mendapatkan pinjaman bank kerana status pembayaran balik pinjaman pendidikan mereka menjejaskan skor kepercayaan kredit mereka.

Rajah 27: Penalti yang dihadapi oleh peminjam

Untuk lebih memahami impak berbeza hutang pinjaman pendidikan terhadap kehidupan peminjam, kami bertanya kepada responden tentang kesan pinjaman tersebut terhadap kedudukan kewangan dan rancangan kehidupan mereka. 59% melaporkan bahawa pinjaman pendidikan telah menyumbang kepada tekanan kewangan, 57% melaporkan bahawa pinjaman pendidikan menyumbang kepada kelewatan dalam pembelian rumah, dan 52% melaporkan bahawa pinjaman pendidikan menyumbang kepada mereka menangguhkan simpanan, termasuk simpanan kecemasan dan simpanan persaraan (Rajah 28). 46% daripada responden melaporkan bahawa pinjaman pendidikan telah menyumbang kepada mereka tidak memulakan perniagaan atau mengusahakan sesuatu yang berisiko, manakala 42% melaporkan bahawa pinjaman pendidikan telah menyumbang kepada mereka menangguhkan perkahwinan atau memulakan keluarga (iaitu mendapatkan zuriat).

Rajah 28: Kesan pinjaman pendidikan terhadap rancangan kehidupan

Kami juga bertanya pendapat responden tentang beberapa idea untuk memperbaharui dasar pinjaman pendidikan. Pendapatan kewangan adalah tema yang sering ditekankan oleh para responden. 82% responden bersetuju bahawa hutang pinjaman pendidikan tidak menjadi masalah sekiranya graduan mendapat gaji yang lebih tinggi. Sehubungan itu, terdapat sokongan padu daripada responden, 81%, untuk memulakan pembayaran balik pinjaman pendidikan hanya selepas peminjam mencapai tahap pendapatan yang berpatutan – ini adalah salah satu cadangan dasar yang kami anjurkan dalam Bahagian 2 siri kajian ini. Lebih daripada dua pertiga responden, 77%, bersetuju bahawa peminjam yang kurang bernasib baik dan terbeban wajar mendapat pengampunan bagi sebahagian daripada hutang pinjaman pendidikan mereka – cadangan yang juga kami usulkan sebelum ini.

Rajah 29: Sokongan untuk pembayaran balik berasaskan pendapatan dan pengampuan sebahagian hutang pinjaman

Cadangan dasar untuk mengenakan lebih banyak pengawalan ke atas pinjaman pendidikan tidak dipersetujui oleh responden – ini bertentangan dengan idea kami berkenaan hal ini. Majoriti responden tidak bersetuju bahawa kriteria untuk pinjaman pendidikan perlu diperketatkan dan diberikan untuk kursus tertentu sahaja (69%) atau institusi tertentu sahaja (71%), yang merupakan dua daripada cadangan-cadangan dasar yang kami usulkan dalam Bahagian 3 siri kajian ini. Sebilangan kecil responden juga memberi reaksi negatif terhadap pengesyoran dasar kami bahawa jumlah pinjaman pendidikan untuk ijazah universiti tradisional perlu dikurangkan, dan lebih banyak lagi untuk kursus teknikal dan atas talian termasuk kelayakan mikro (52% tidak bersetuju). Walau bagaimanapun, kajian lanjutan yang merangkumi sampel yang lebih representatif, termasuk lebih ramai graduan TVET, mungkin akan menjana pandangan yang kurang condong ke arah pemilikan ijazah tradisional.

Rajah 30: Sokongan untuk cadangan pembaharuan dasar pinjaman

77% responden bersetuju bahawa belia tidak patut perlu berhutang untuk mencapai pendidikan tinggi, dan majoriti yang lebih besar, 82%, berkata golongan miskin tidak sewajarnya perlu berbuat demikian. Majoriti responden, 59%, tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa seseorang individu atau keluarga bertanggungjawab sepenuhnya untuk menabung dan membiayai pengajian tinggi mereka sendiri. Mungkin dalam kajian akan datang, boleh dilihat sama ada peminjam merasakan bahawa keluarga harus bertanggungjawab untuk membayar sebahagian kos pendidikan tinggi.

Rajah 31: Pandangan mengenai pembiayaan pendidikan tinggi

Mengenai persoalan kemampuan fiskal, kira-kira dua pertiga daripada responden, 69%, berpendapat bahawa negara mampu untuk menyediakan pendidikan tinggi percuma untuk semua orang (Rajah 32). Pada pandangan kami, ini mencerminkan jurang antara pembuat dasar (yang cenderung lebih berhati-hati/konservatif dari segi fiskal) dengan pandangan masyarakat umum.

Rajah 32: Pandangan tentang kemampuan kerajaan menyediakan pendidikan tinggi percuma

Walau bagaimanapun, ramai responden tidak mengetahui bagaimana PTPTN – penyedia pinjaman pendidikan terbesar di negara – beroperasi (Rajah 33). Hanya 39% menyedari bahawa PTPTN meminjam daripada institusi kewangan dan pasaran kewangan. Lebih dua pertiga daripada responden, 77%, mengandaikan bahawa PTPTN dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan dan pembayar cukai, dan hanya 36% sedar bahawa kerajaan Malaysia menjamin hutang yang ditanggung oleh PTPTN. Kira-kira 40% mengandaikan bahawa PTPTN dibiayai sepenuhnya oleh kutipan pinjaman (Kami telah membincangkan bagaimana PTPTN beroperasi dalam Bahagian 1.).

Rajah 33: Pengetahuan tentang operasi pembiayaan PTPTN

Kesimpulan

Kami memulakan siri kajian ini dengan menggariskan beberapa masalah utama yang berbangkit apabila pinjaman pendidikan menjadi tonggak utama dasar pembiayaan pendidikan tinggi bagi rakyat Malaysia. Seperti yang telah dinyatakan sebelum ini, isu utama ialah pulangan dari pendidikan tinggi yang tidak diagihkan secara sama rata. Ini dibuktikan oleh tinjauan kami yang mendapati lebih daripada separuh responden berpendapatan RM4,000 sebulan dan ke bawah.

Disebabkan pulangan tidak sekata daripada pendidikan tinggi, kami membuat hipotesis bahawa graduan kini makin mempersoalkan nilai pendidikan tinggi mereka berbanding dengan kos hutang pinjaman pendidikan. Ini sedikit sebanyak disokong oleh tinjauan ini, di mana hanya majoriti kecil responden, 59%, bersetuju bahawa pendidikan mereka berbaloi dengan pinjaman yang ditanggung. Peminjam yang berpendapatan lebih rendah (kurang daripada RM2,000 sebulan) berkemungkinan besar mempersoalkan nilai pendidikan tinggi mereka. 

Kami menguji andaian kami yang lain mengenai aspek berkaitan seperti tingkah laku pembayaran balik pinjaman, tahap penstrukturan semula pinjaman, kesan pinjaman pendidikan terhadap tekanan kewangan dan rancangan kehidupan peminjam, serta sejauh mana pengetahuan peminjam tentang cara PTPTN dibiayai; Kesemua ini diringkaskan dalam Jadual 1 di bawah. Walaupun kebanyakan andaian kami mengenai impak pinjaman pendidikan terhadap situasi kewangan peminjam telah disahkan, beberapa dapatan tidak senegatif/seteruk yang kami jangkakan.

Jadual 1: Andaian yang diuji dan petunjuk daripada tinjauan

Selain daripada andaian di atas, kami juga menguji pandangan peminjam terhadap perspektif dasar kami (Jadual 2). Beberapa pengesyoran dasar kami tidak disenangi para peminjam. Contohnya dalam Bahagian 3, kami telah menganjurkan pengetatan  syarat dan pengehadan pinjaman pendidikan bagi kursus atau institusi tertentu yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti, tetapi responden menolak cadangan ini dengan margin yang besar. Kami juga menyarankan untuk mengembangkan lebih banyak pinjaman pendidikan untuk kursus teknikal dan vokasional (TVET) dan mikrokredential tetapi responden kurang menyokong cadangan ini.

Walau bagaimanapun, cadangan-cadangan kami yang lain ternyata menarik perhatian dan sokongan para responden. Terdapat sokongan kukuh untuk membenarkan peminjam memulakan pembayaran balik hanya selepas mereka mencapai tahap pendapatan yang berpatutan, selari dengan idea untuk melaksanakan pembayaran balik berasaskan pendapatan. Responden juga menyokong pandangan dasar kami bahawa isi rumah berpendapatan rendah tidak harus perlu menanggung hutang untuk mencapai pendidikan tinggi – dan ini menunjukkan suatu kemahuan untuk pembaharuan dasar yang progresif. Cadangan dasar kami yang sejajar dengan visi sedemikian termasuklah menyediakan pengampunan separa pinjaman pendidikan yang bersasar untuk peminjam berpendapatan rendah serta pemberian subsidi terus, bukannya pinjaman, kepada pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Jadual 2: Sokongan bagi cadangan dasar kami

Secara prinsipnya, sebarang keputusan untuk menambah baik dasar pembiayaan pendidikan tinggi harus dipandu oleh dua pemacu utama: pulangan sebenar pendidikan tinggi dan kemampanan struktur pembiayaan PTPTN. 

Mengakui dan mengenal pasti ketidaksamaan pulangan daripada pendidikan tinggi akan membantu kita untuk bergerak ke arah dasar yang (i) benar-benar membantu untuk menyamakan peluang dan kedudukan untuk pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah, dan (ii) mengagihkan sokongan sumber dan jaminan kualiti yang berpatutan kepada pendidikan berterusan yang tidak tradisional seperti TVET dan mikrokredential.

Kesedaran struktur jangka panjang pembiayaan PTPTN yang kurang mampan akan membantu kerajaan untuk menetapkan laluan ke arah dasar yang (iii) beralih daripada kebergantungan pada hutang pinjaman ke arah  inisiatif subsidi/tabungan simpanan untuk pembelajaran sepanjang hayat setiap rakyat Malaysia, dan (iv) menginstitusikan lebih banyak nilai ketelusan, akauntabiliti dan pengawasan dalam badan pembiayaan seperti PTPTN.

Mengambil kira perubahan ketara yang kian berlaku dalam dunia pekerjaan dan pendidikan tinggi, kami percaya bahawa sudah tiba masanya untuk lebih banyak penggubalan dasar – yang berasaskan bukti dan kajian – dibuat untuk mengkaji semula pinjaman pendidikan sebagai instrumen dasar. Dengan pilihan raya umum yang semakin menjelang tiba, kami berharap untuk melihat dan menilai pelbagai cadangan dasar dan pemikiran baru yang memandang ke hadapan daripada parti-parti politik mengenai topik yang sangat penting ini.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS