RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Research Public Goods

Kesan PKP terhadap Kewangan, Pekerjaan dan Kesejahteraan Mental

Bagaimana anjakan dalam pekerjaan dan pendapatan sepanjang tempoh PKP memberi kesan terhadap kesejahteraan mental di Malaysia? Kami meninjau keadaan kewangan rakyat Malaysia di kala krisis kesihatan awam.

By Aziff Azuddin & Idlan Zakaria2 June 2020


Read English Version

Dalam Bahagian 1 laporan kajian kesejahteraan mental yang diterbitkan pada April 28, kami mendapati bahawa lebih 50% dari responden kaji selidik melaporkan mengalami kesan emosi negatif. Hasi kajian menggambarkan bahawa keadaan tempat tinggal yang merangkumi kepadatan isi rumah dan jenis kediaman  semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mempengaruhi kadar kesejahteraan mental rakyat Malaysia.

Dalam Bahagian 2, kami mengkaji bagaimana perubahan dalam pekerjaan dan status kewangan sepanjang tempoh PKP mempengaruhi kadar kesejahteraan mental. Seperti dalam Bahagian 1, tahap kesejahteraan mental diukur menggunakan kaji selidik DASS-21. (Untuk maklumat lanjut tentang cara penerapan kaji selidik DASS-21 dan metodologi kajian secara keseluruhan, sila rujuk Bahagian 1).

Sampel

Analisa Bahagian 2 kajian ini menggunakan sub-sampel 720 responden daripada keseluruhan 1084 maklum balas yang dikumpulkan. Ini adalah kerana terdapat responden yang memberikan data tidak lengkap atau tidak teratur tentang pendapatan isi rumah. Penyisihan respons yang bermasalah membolehkan kami memberikan gambaran yang lebih tepat tentang kekangan kewangan yang dihadapi oleh responden.

Pecahan demografi sub-sampel adalah hampir sama dengan keseluruhan sampel (sila rujuk Bahagian 1): 59% responden dari kawasan bandar, dengan 70% dari Selangor dan Kuala Lumpur. 63% dari responden adalah wanita, dengan 82% mewakili Melayu/Bumiputera dan 42% dalam lingkungan umur 24-34. Selain itu, responden secara purata mempunyai tiga orang tanggungan kewangan.


Seperti dalam Bahagian 1, maklum balas tidak mewakili sampel berstrata nasional. Kelaziman dalam kaji selidik, masalah responden terkurang atau terlebih memberi maklum balas boleh berlaku – ini telah dikenalpasti dan jawapan di luar julat tidak dimasukkan di dalam kajian. Dapatan kajian ini perlu ditafsir dengan mengambil kira kekangan-kekangan yang disebutkan di atas.

Bagaimana pendapatan isi rumah telah berubah sepanjang PKP?

Penurunan pendapatan secara keseluruhan

Kami meminta responden melaporkan pendapatan isi rumah sebelum dan semasa tempoh PKP. Secara keseluruhan, purata pendapatan isi rumah responden sebelum dan semasa tempoh PKP adalah sebanyak RM8,790 dan RM7,773. (Jumlah ini adalah lebih tinggi dari purata kebangsaan, tetapi mewakili tumpuan responden kami di Selangor dan Kuala Lumpur dimana pendapatan purata isi rumah adalah lebih tinggi).

Dalam Bahagian 1 kajian ini, kami meneliti keadaan tempat tinggal dan jenis isi rumah. Dengan mengklasifikasikan pendapatan berdasarkan jenis isi rumah (Rajah 1a), dapat dilihat perbezaan tingkat purata pendapatan isi rumah berdasarkan jenis kediaman: isi rumah yang berpendapatan lebih tinggi lazimnya tinggal di bungalow/rumah berkembar atau apartment dan kondominium, sementara mereka dengan pendapatan rendah menetap di perumahan kos rendah. Secara purata perbezaan pendapatan isi rumah sebelum dan semasa PKP adalah sebanyak RM1,0008.

Rajah 1a: Pendapatan Purata Isi Rumah Sebelum dan Semasa PKP berdasarkan Jenis Kediaman

Kami juga mengklasifikasikan pendapatan sebelum dan semasa PKP berdasarkan jenis pekerjaan (Rajah 1b). Pekerja sambilan, pekerja sendiri dan pemilik perniagaan mengalami kemerosotan pendapatan yang paling ketara. Pekerja sambilan merupakan golongan yang paling terkesan dengan purata pendapatan mereka berkurangan sebanyak 50%, diikuti oleh pemilik perniagaan yang melaporkan pendapatan mereka merosot sebanyak 48%. Pekerja sepenuh masa merupakan golongan yang paling stabil diantara semua jenis pekerjaan, dengan penurunan pendapatan 3%.

Rajah 1b: Pendapatan Purata Isi Rumah Sebelum dan Semasa PKP berdasarkan Jenis Pekerjaan

Pendapatan turun, kadar kesejahteraan mental negatif meningkat

Rajah 2a-2c melaporkan bagaimana perubahan pendapatan memberi kesan kepada kesejahteraan mental. Tidak menghairankan, 54% dari golongan yang melaporkan penurunan pendapatan turut melaporkan mengalami kemurungan, manakala 40% melaporkan mengalami keresahan dan tekanan. Lebih kurang 25% melaporkan mengalami kemurungan serta keresahan di kadar teruk dan amat teruk, sementara 18% melaporkan mengalami tekanan di kadar yang sama.

Sebaliknya, mereka yang melaporkan peningkatan pendapatan isi rumah mengalami kadar kesejahteraan mental normal, kecuali kemurungan dimana 43% melaporkan mengalami tanda-tanda kemurungan ringan atau sederhana.

Rajah 2a: Perubahan pendapatan dan kesan terhadap tahap kemurungan

Rajah 2b: Perubahan pendapatan dan kesan terhadap tahap keresahan

Rajah 2c: Perubahan pendapatan dan kesan terhadap tahap tekanan

Kesejahteraan Mental dan Status Pekerjaan

Kadar kesejahteraan mental paling negatif di kalangan pelajar dan penganggur

Rajah 3a-3c menunjukkan pelajar dan penganggur mengalami kadar kesejahteraan mental paling negatif merentasi ketiga-tiga dimensi, diikuti oleh pekerja sambilan di tempat ketiga.

Pekerja sambilan dan penganggur melaporkan mengalami kadar kesejahteraan mental negatif di peringkat teruk. 27% dan 38% dari pekerja sambilan serta penganggur melaporkan mengalami tanda-tanda kemurungan di peringkat amat teruk dan teruk, berbanding 20% atau kurang oleh golongan lain (selain pelajar). Tren yang hampir sama turut dapat dilihat pada dimensi keresahan, di mana kedua-dua golongan pekerja sambilan dan penganggur melaporkan mengalami keresahan amat teruk dan teruk di kadar 34% dan 29%.

Sementara itu, 62% dan 58% pelajar melaporkan mengalami tanda-tanda keresahan dan kemurungan, manakala 40% melaporkan mereka mengalami tekanan. Kadar yang tinggi ini selari dengan penemuan kami di Bahagian 1 dimana ramai individu dalam golongan umur 18-24 – yang 90% merupakan pelajar – melaporkan mengalami emosi negatif, berbanding peringkat umur yang lain. Tinjauan seterusnya mendapati bahawa ini mungkin didorong oleh isu-isu berkaitan pekerjaan: maklumbalas pelajar kepada soalan terbuka (subjektif) tentang kerisauan utama mereka pasca-PKP sebahagian besar berkisar isu status mereka sebagai graduan baru di masa ketidaktentuan ekonomi. Ini turut selari dengan amaran Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) kepada graduan tentang pasaran kerjaya yang dijangka suram pasca-PKP.

Pesara mengalami kadar kesejahteraan mental negatif terendah diantara semua golongan, dengan rata-rata hanya melaporkan tanda-tanda kesejahteraan mental negatif di peringkat sederhana atau ringan.

Rajah 3a: Perbezaan dalam tahap kemurungan berdasarkan jenis pekerjaan

Rajah 3b: Perbezaan dalam tahap keresahan berdasarkan jenis pekerjaan

Rajah 3c: Perbezaan dalam tahap tekanan berdasarkan jenis pekerjaan

Perubahan status pekerjaan, ramai yang tidak dapat bekerja semasa PKP

Salah satu kesan negatif PKP ialah kekangan terhadap aktiviti ekonomi. Ramai rakyat Malaysia yang bekerja sebelum tempoh PKP mengalami perubahan status pekerjaan mereka sepanjang tempoh PKP. (Sejak kajian mula dijalankan, Malaysia telah beralih kepada PKP Bersyarat dengan pembukaan sektor-sektor ekonomi tertentu).

Bagi mereka yang bekerja sebelum tempoh PKP, pemilik perniagaan dan mereka yang bekerja sendiri mengalami perubahan paling ketara, dengan 60% melaporkan mereka tidak dapat bekerja sepanjang tempoh PKP.

Pekerja sambilan pula paling banyak mengalami perubahan, dengan 7% dibuang kerja, 20% terpaksa mengambil cuti tanpa gaji dan 20% pula dipotong gaji.

Pekerja sepenuh masa dilihat berada dalam keadaan paling stabil dengan 88% tidak mengalami apa-apa perubahan status pekerjaan.

Rajah 4: Bagaimana status pekerjaan berubah semasa PKP

Golongan dipecat paling teruk terkesan, diikuti oleh golongan mengambil cuti tanpa gaji

Rajah 5a-5c menggambarkan sekurang-kurangnya 30% responden melangkaui semua status pekerjaan semasa tempoh PKP melaporkan mengalami emosi negatif. Mereka yang mengambil cuti tanpa gaji melaporkan kadar kemurungan tertinggi (68%) manakala golongan yang dipecat melaporkan kadar keresahan dan tekanan tertinggi (masing-masing 62%).

Di antara golongan yang dipecat, 38% melaporkan kadar kemurungan dan keresahan yang amat teruk, manakala 25% melaporkan perasaan tekanan yang amat teruk. Di kalangan mereka yang bercuti tanpa gaji, 48% melaporkan keresahan yang teruk dan amat teruk, manakala 32% melaporkan kadar kemurungan yang teruk dan amat teruk. Walau bagaimanapun, hanya 5% melaporkan kadar tekanan yang amat teruk.

Tidak menghairankan, mereka yang melaporkan bahawa tiada perubahan terhadap status pekerjaan, turut melaporkan mengalami kadar emosi negatif terendah.

Rajah 5a: Perbezaan dalam tahap kemurungan berdasarkan status pekerjaan

Rajah 5b: Perbezaan dalam tahap keresahan berdasarkan status pekerjaan

Rajah 5c: Perbezaan dalam tahap tekanan berdasarkan status pekerjaan

Kebimbangan jangka pendek dan jangka panjang

Ketidaktentuan keadaan kewangan pasca-PKP

Di akhir Bahagian 1, kami melaporkan ramai responden bimbang mengenai kesihatan serta keselamatan diri dan orang-orang tersayang. 47% responden menyatakan mereka bimbang mengenai keadaan kewangan semasa tempoh PKP berbanding 56% yang bimbang tentang tentang keadaan kewangan pasca-PKP.

Rajah 6: Kerisauan utama semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

Kami meminta para responden untuk menyatakan maksimum tiga kebimbangan kewangan utama bagi dua tempoh masa: di waktu kajian dijalankan semasa tempoh PKP, dan kebimbangan mereka di masa hadapan setelah PKP tamat. Selari dengan kebimbangan mengenai keadaan kewangan secara keseluruhan seperti dibincangkan di atas, responden mengenalpasti lebih banyak kebimbangan kewangan di masa hadapan (pasca-PKP) berbanding semasa dalam tempoh PKP.

Dari Rajah 7, kebimbangan kewangan utama yang dikenalpasti responden adalah tidak mampu menanggung kos kecemasan perubatan, tidak mampu menanggung keperluan isi rumah serta tidak mampu membayar bil, pinjaman serta sewa atau tunggakan. Lebih ramai responden risau akan hal kecemasan perubatan semasa tempoh PKP berbanding selepas. Situasi ini terbalik bagi kebimbangan utama yang lain: walaupun terdapat kebimbangan mengenai kebolehan menanggung keluarga, membayar bil, pinjaman serta sewasepanjang tempoh PKP, lebih ramai responden yang risau tentang hal-hal ini pasca-PKP.

Rajah 7: Kebimbangan kewangan utama semasa dan selepas PKP

Lanskap Sokongan Kesihatan Mental Semasa

Terdapat peluang memperbaiki pendekatan terkini Malaysia terhadap sokongan kesihatan mental. Isu semasa berkaitan kesihatan mental dapat dikaitkan dengan kekurangan penawaran jawatan berkaitan kesihatan mental, dan hasilnya, kekurangan sumber bagi memenuhi keperluan sokongan kesihatan mental. Data terkini dari Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa di Malaysia, terdapat 0.5 pakar psikiatri bagi setiap 100,000 individu,  manakala terdapat 0.21 ahli psikologi klinikal bagi setiap 100,000 individu. Ini lebih rendah dari cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) agar terdapat 1 pakar psikiatri bagi setiap 100,000 individu, serta median global 1.1 pakar psikologi bagi setiap 100,000 individu.

Selain dari kekurangan kepakaran, juga terdapat stigma berkaitan kesihatan mental dan gangguan mental. Walaupun terdapat usaha meningkatkan kesedaran terhadap perkara ini , ramai yang masih kurang faham tentang isu-isu berkaitan kesihatan mental. Kekeliruan tentang masalah kesihatan mental boleh membawa kepada diskriminasi, sama ada secara peribadi atau profesional, serta keengganan untuk pesakit mendapatkan bantuan. Walau bagaimanpun, semasa PKP, kelihatan ramai rakyat yang menghubungi talian bantuan atau sokongan kesihatan mental yang ditawarkan oleh Kementerian Kesihatan serta NGO-NGO. Ini mungkin menandakan adanya peningkatan keterbukaan rakyat Malaysia mendapatkan dan menerima sokongan kesihatan mental.

Namun begitu, oleh kerana infrastruktur bantuan kesihatan mental awam masih terhad, mendapatkan bantuan kesihatan mental boleh melibatkan kos yang tinggi. Kos bantuan kesihatan mental atau terapi swasta boleh mencapai RM250 setiap sesi. Juga ada kekurangan dari segi perlindungan insurans menyeluruh bagi kesihatan mental di Malaysia, dengan hanya beberapa syarikat insurans yang menawarkan perlindungan, dan dikalangan mereka, hanya untuk kes penyakit mental yang amat teruk dan tanpa gejala sedia ada.

Pertimbangan dasar

Mercy Malaysia menjangkakan peningkatan panggilan kepada talian bantuan kesihatan mental berkaitan isu psikologi melangkaui tempoh PKP. Mengambil kira jangkaan pertambahan kadar pengangguran dan ketidaktentuan ekonomi, mungkin kita bakal melihat lebih ramai rakyat Malaysia mengalami keadaan kesejahteraan mental negatif ketika bergelut dengan kesan kejatuhan ekonomi akibat COVID-19. Walaupun pakej Bantuan Prihatin Nasional telah diumumkan oleh kerajaan dengan tujuan membantu mengurangkan kesan kewangan, usaha turut perlu ditumpukan ke arah menyokong kesejahteraan mental rakyat Malaysia.

Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk menambahbaik sokongan kesihatan mental kita? Pertama, ada keperluan segera untuk menangani isu kekurangan pakar kesihatan mental – peluang pekerjaan dan latihan bagi kerjaya berkaitan kesihatan mental perlu ditambah melebihi kadar sedia ada. Ini meliputi membuka peluang-peluang pekerjaan berkaitan kesihatan mental, dan juga memperbaiki akses rakyat kepada program sokongan kesihatan mental – sebagai contoh Program Minda Sihat di sekolah-sekolah.

Kedua, hasil kajian kami mendapati bahawa penghuni rumah kos rendah serta individu yang berada dalam keadaan kewangan runcing, mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk mengalami kesan kesejahteraan mental negatif. Mengambil kira bahawa usaha ke arah menambah peluang pekerjaan dan latihan berkaitan kesihatan mental biasanya datang dari institusi kesihatan – kami berpendapat bahawa pendekatan komuniti dapat membantu meringankan serta mengatasi jurang kesedaran kesihatan mental dan memberi sokongan yang diperlukan oleh komuniti ini. Individu yang dikenalpasti dalam sesebuah komuniti boleh bekerjasama dengan pakar kesihatan mental bagi meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental di kalangan komuniti mereka serta mencadangkan sistem sokongan yang diperlukan.

Ketiga, berdasarkan kajian kami, golongan dengan status pekerjaan yang tidak menentu mengalami lebih kadar emosi negatif, dan lebih berisiko untuk menerima kesan daripada kejatuhan ekonomi. Peningkatan sokongan kesihatan mental, atau bantuan kewangan untuk membolehkan mereka mendapatkan sokongan kesihatan mental, boleh membantu mereka untuk menghadapi cabaran ekonomi mendatang. Selari dengan akses yang lebih mudah kepada kesihatan mental seperti dibincangkan di atas, kami melihat peluang sokongan lebih menyeluruh untuk dikembangkan sebagai pelengkap, merangkumi program seperti kaunseling hutang.

Turut terdapat peluang untuk mengkaji semula perlindungan insurans untuk kesihatan mental. Walaupun kami sedar adalah sukar untuk mengukur kadar masalah mental (masalah sama turut dihadapi di Amerika Syarikat), lebih banyak insentif perlu diberikan kepada syarikat insurans supaya dapat melihat isu kesihatan mental secara  menyeluruh. Ini dapat dilakukan selaras dengan peningkatan kesedaran serta menggalakkan majikan untuk memberikan lebih banyak sokongan kesihatan mental kepada pekerja-pekerja dalam tempoh mencabar ini.

Kesimpulan

Kajian ini telah mendapati bahawa pemilik perniagaan serta pekerja sendiri mengalami kesan pengurangan pendapatan drastik sepanjang tempoh PKP, manakala pekerja sambilan serta penganggur melaporkan mengalami kadar kesejahteraan mental negatif yang tertinggi. Mereka yang dipecat ataupun terpaksa mengambil cuti tanpa gaji turut mengalami kadar kesejahteraan mental negatif tertinggi. Tidak menghairankan, golongan-golongan ini merupakan yang paling rentan dimasa ketidaktentuan ekonomi.

Walaupun mengambil kira kepentingan isu ini, perbincangan tentang kesihatan mental hanya mendapat perhatian dalam beberapa tahun terakhir ini. Covid-19 dan PKP, walaupun telah memperburuk kadar kesejahteraan mental, juga memberikan kita kesedaran bahawa apa yang kita saksikan hanyalah episod terkini dalam rentetan berpanjangan masalah kesejahteraan dan kesihatan mental rakyat. Pada Mac, lebih 610,000 rakyat Malaysia telah dibuang kerja akibat perusahaan-perusahaan berhadapan kerugian yang serius sepanjang tempoh PKP. Angka ini dijangka akan terus meningkat dalam bulan-bulan akan datang, tatkala kita berhadapan dengan kejatuhan ekonomi dunia.

Situasi semasa telah memanggil kita untuk memastikan penambahbaikan sistem sokongan kesihatan mental di Malaysia. Walaupun kerajaan telah mengumumkan skim perlindungan kewangan bagi golongan-golongan terbabit, kami mendapati bahawa kesan PKP terhadap kesejahteraan mental melangkaui penyelesaian krisis perubatan awam ini. Langkah selanjutnya, melampaui memupuk kesedaran, adalah untuk melakukan perubahan secara sistematik dan menterjemahkan maklum balas tentang keadaan kesihatan mental ke dalam bentuk polisi yang berkesan.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS