Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.
Pekerja migran adalah antara komuniti yang paling terdedah semasa pandemik. Kami meninjau keadaan ruang hidup pekerja migran dan membincangkan implikasinya terhadap dasar pada masa kini.
By Jia Vern Tham & Nelleita Omar25 May 2020
Bashor Ahmad, seorang pekerja migran yang tinggal di Selangor Mansion, berkongsi unit pangsapuri seluas 900 kaki persegi dengan 15 orang lain. Dalam ulasan beliau di akhbar The Star, beliau meratapi keadaan di mana hampir mustahil penjarakkan sosial boleh dilakukan dalam keadaan rumah seperti itu. "Semua orang hanya boleh memilih sudut untuk duduk dan kami hampir tidak bercakap antara satu sama lain."
Komuniti migran di seluruh dunia adalah antara yang paling ramai terkesan dengan wabak COVID-19 dan mereka di Malaysia juga tidak terkecuali. Mengambil Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion sebagai contoh, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah telah mengaitkan kelompok Covid-19 terbaru di kalangan pekerja migran dengan keadaan hidup mereka yang sesak dan serba kekurangan.
Setakat ini, selain dari yang disebut di atas, juga telah ada kelompok jangkitan Covid-19 dari kalangan pekerja migran dilaporkan, termasuk satu dari Pasar Selayang, tapak pembinaan Pavilion Embassy, dan tapak pembinaan Setia Alam. Sehingga 10 Mei 2020, 17% dari jumlah kes Covid-19 di Malaysia datang dari kalangan pekerja migran.
Pihak berkuasa berusaha untuk mengelakkan lonjakan jangkitan seperti yang berlaku di Singapura; di mana berlakunya peningkatan jangkitan disebabkan oleh penyebaran virus di asrama pekerja migran. Buat masa sekarang, kerajaan Malaysia memberi prioriti ujian saringan Covid-19 kepada kelompok pekerja migran berisiko tinggi di kalangan mereka yang bekerja di sektor pembinaan dan pengawal keselamatan di Lembah Klang. Kementerian Wilayah Persekutuan juga telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan penggunaan pekerja migran di pasar borong, walaupun ianya agak kurang praktikal untuk dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, hakikatnya, akar umbi masalah ini ialah keadaan ruang hidup pekerja migran, dan inilah yang perlu ditangani.
Kes Selangor Mansion memberikan satu contoh tipikal keadaan hidup pekerja migran di Malaysia. Setiap unit berukuran lebih kurang 800 hingga 900 kaki persegi dan mempunyai 2 hingga 3 bilik. Ada laporan yang mengatakan bahawa satu unit menempatkan rata-rata 10 pekerja migran walaupun laporan lain pula ada menunjukkan bahawa sehingga 16 hingga 24 pekerja migran didapati tinggal dalam satu unit.
Kesempitan seperti ini bermakna hanya ada ruang hidup antara 38 hingga 56 kaki persegi untuk setiap pekerja. Penjarakkan sosial hampir mustahil dalam keadaan sebegini — sila rujuk simulasi di bawah (sebelah kiri). Bagi mengurangkan penyebaran virus di unit seluas 900 kaki persegi dengan 24 penghuni, memerlukan semua penghuni untuk "memilih sudut" seperti yang digambarkan oleh Bashor dan duduk di sudut tersebut tanpa sebarang pergerakan. Namun, pada hakikatnya, manusia pasti bergerak, dan apabila berada di ruang yang begitu sempit, virus akan menyebar dengan kadar laju seperti yang ditunjukkan di sebelah kanan.
Menurut NGO Singapura, Transient Workers Count Too, sebuah bilik asrama khas untuk 20 orang pekerja migran di Singapura mempunyai ruang seluas 48.44 kaki persegi untuk seorang penghuni, yang memenuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan Singapura iaitu ruang hidup minimum 48 kaki persegi untuk seorang.
Malaysia juga mempunyai garis panduan tempat tinggal pekerja migran yang hampir sama. Piawaian tersebut merangkumi, antara lain:
Pada bulan Julai 2019, Rang Undang-Undang Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja (Pindaan) diluluskan. Walaupun pindaan itu mengandungi syarat tambahan yang penting, seperti tempat tinggal yang berasingan untuk pekerja yang berlainan jantina, tetapi garis panduan minimum untuk ruang tempat tinggal tetap seperti yang disebutkan di atas.
Piawaian ini agak berbeza dengan garis panduan untuk penginapan berbilang orang seperti asrama pelajar. Garis panduan asrama pelajar di Selangor, misalnya, menetapkan maksimum 8 penduduk ke unit asrama berukuran 850 kaki persegi, yang membolehkan setiap penghuni mempunyai ruang seluas 106.25 kaki persegi. Ilustrasi di bawah menunjukkan perbezaan antara garis panduan tempat tinggal untuk pekerja migran berbanding pelajar:
Pandemik Covid-19 telah memaksa kita untuk menghadapi persoalan yang lama, iaitu sama ada taraf keadaan hidup pekerja asing selamat dan berperikemanusiaan. Pandemik ini juga telah memaksa kita berdepan dengan masalah penguatkuasaan taraf ini.
Walaupun taraf tempat tinggal ditingkatkan, undang-undang tidak mewajibkan majikan untuk menyediakan perumahan dan tempat tinggal kepada pekerjanya. Akibatnya, kebanyakan pekerja migran di Malaysia membayar untuk penginapan mereka sendiri dan untuk menjimatkan wang, mereka tinggal di unit sempit dengan ramai orang. Ada kalanya, jumlah pekerja yang tinggal dalam satu unit lebih ramai dari yang dibenarkan. Jelas bahawa selain mempunyai piawaian yang lebih baik, penguatkuasaan piawaian akan menjadi aspek penting dalam dunia Covid-19.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menekankan bahawa ruang dalaman rumah yang mencukupi sangat penting untuk kesihatan. Namun, dalam dunia Covid-19, pengertian tentang apa yang menjadi ruang hidup yang mencukupi perlu dikaji semula, bukan hanya untuk tujuan kesejahteraan diri tetapi juga untuk pertimbangan kesihatan awam. Sustainable Agriculture Network and Rainforest Alliance Standard 2005 telah mengesyorkan ruang tidur seluas 53.82 kaki persegi setiap orang di asrama, yang lebih tinggi daripada garis panduan semasa Malaysia. Kemungkinan juga cadangan ini sendiri perlu dikemaskini selaras dengan dunia baharu COVID-19.
Oleh sebab pihak berkuasa terus mengambil langkah-langkah penjarakan sosial dengan segera di antara pekerja migran, seperti mengurangkan kepadatan asrama dan memindahkan pekerja ke ruang sementara, penggubal undang – undang juga perlu menetapkan garis panduan tempat tinggal yang sesuai dengan dunia Covid- 19.
Kami mencadangkan peningkatan garis panduan minimum tempat tinggal pekerja migran ke tahap yang di nasihatkan dan diluluskan oleh ahli epidemiologi dan pihak kesihatan awam. Kami juga menggesa kajian semula ke atas tanggungjawab majikan dalam memastikan garis panduan tempat tinggal dipatuhi, sama ada di asrama yang dibina khas atau di rumah kos rendah.
Mempertimbangkan semula keadaan perumahan pekerja migran dan memastikan ia selamat dan selesa hanya satu daripada berbagai aspek isu pekerja migran yang timbul semasa pandemik Covid-19 ini. Selain daripada taraf penginapan minimum, akses kepada hospital atau klinik dan juga layanan terhadap pendatang tanpa dokumen telah menimbulkan persoalan tentang tanggungjawab negara terhadap pekerja migran.
Keadaan di pusat tahanan
Sekiranya ditangkap, pekerja migran tanpa dokumen menghadapi risiko tambahan penyebaran virus di sel tahanan yang sesak. Pelbagai laporan dari mereka yang di tahan di beberapa pusat tahanan Malaysia telah menggambarkan keadaan yang melampau dan juga layanan yang tidak berperikemanusiaan.
Dalam laporan tahun 2017, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mendedahkan bahawa lebih dari 100 orang asing telah mati di pusat tahanan Malaysia, termasuk dari penyakit yang disebabkan oleh keadaan sanitasi dan makanan yang kurang memuaskan/teruk, penderaan fizikal, dan kurang perhatian perubatan.
Depoh tahanan menjadi perhatian ramai dalam dua-tiga hari kebelakangan ini, di mana sehingga 26 Mei 2020, sebanyak 383 kes telah dilaporkan di tiga Depoh Tahanan Imigresen (DTI) — Sepang, Bukit Jalil, dan Semenyih.
Akses kepada perkhidmatan kesihatan memang menjadi masalah bagi masyarakat migran – tetapi dalam situasi pandemik, hal ini telah menjadi sangat penting. Namun, pemeriksaan kesihatan penuh mempunyai risiko yang tinggi untuk mereka yang tiada dokumen sah kerana doktor yang mejalankan rawatan diwajibkan melaporkan mereka kepada pihak berkuasa. Kami bersetuju dengan tuntutan untuk penangguhan kesalahan imigresen sehingga berakhirnya wabak ini untuk menggalakkan pendatang tanpa dokumen yang mempunyai simptom untuk tampil ke hadapan dan mendapatkan rawatan di bawah kuarantin.
Terdapat lebih dari 2 juta pekerja migran di Malaysia, dan dianggarkan 3 juta migran tanpa dokumen. Keperluan untuk membendung penyebaran Covid-19 telah memaksa kita untuk berdepan semula dengan dasar – dasar lama tentang taraf hidup pekerja migran. Walaupun pembaharuan dasar yang memperbaiki piawaian adalah perkara yang perlu dilakukan, tetapi hal ini juga akan meningkatkan kos buruh migran, terutamanya di sektor-sektor yang sangat bergantung kepada buruh migran seperti pembinaan dan perladangan. Norma baharu berkaitan dengan pekerja migran akan menjadi salah satu kesan daripada COVID-19 di Malaysia dan di seluruh dunia.
The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.