RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Editorial Public Goods

Pendekatan Bersepadu Dalam Menangani Masalah Kewangan dan Kesihatan Mental

Masalah kewangan dan kesihatan mental berhubungkait – jadi cara kita menyalurkan bantuan kepada mereka yang terjejas juga perlu bersepadu.

By Editorial Team7 October 2020


Read English Version

Pada bulan April tahun ini, sebulan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan, The Centre telah membuat kajian tentang bagaimana PKP mempengaruhi kesejahteraan mental orang ramai di Malaysia. Tidak mengejutkan apabila kami mendapati bahawa mereka yang telah mengalami pengurangan pendapatan melaporkan perasaan kemurungan, kegelisahan dan stres yang lebih tinggi daripada mereka yang tidak mengalami apa-apa perubahan atau ada peningkatan dalam pendapatan mereka.

Walaupun kadar pengangguran rasmi Malaysia telah mula pulih sedikit, tetapi rata-rata orang ramai masih risau tentang kestabilan kewangan mereka. Dengan berakhirnya moratorium bayaran pinjaman 30 September lalu, tambahan beban kewangan mungkin memberi kesan kepada terhadap kesejahteraan mental.

Beberapa kajian akademik telah membuktikan bagaimana masalah masalah kewangan dan masalah kesihatan mental berkait rapat. Dapatan kajian ini boleh kita jadikan asas bagi menangani masalah ini secara lebih proaktif. Kami mencadangkan pendekatan yang lebih bersepadu dalam merangka program bantuan, yang melibatkan institusi kewangan dan juga perkhidmatan kesihatan mental.

Masalah Yang Meruncing

Sebelum kita berbincang tentang pendekatan yang perlu diambil, mari kita lihat latarbelakang masalah ini.

Hubungan antara kesihatan mental dan masalah kewangan saling berkaitan. Sebagai contoh, seseorang yang mempunyai banyak hutang mungkin akan lebih terdedah kepada emosi negatif seperti kemurungan atau kegelisahan. Gangguan emosi ini boleh mempengaruhi kemampuan beliau untuk menguruskan hutangnya dengan berkesan. Pengurusan hutang yang lemah boleh menjurus kepada pertambahan bebanan kewangan, lantas menambah risiko mengalami emosi negatif yang lebih teruk lagi –  dan kitaran ini akan berlanjutan.

Bagi mereka yang sedia ada masalah kesihatan mental, bebanan kewangan boleh  memburukkan lagi keadaan. Tambahan pula, di kalangan mereka yang berpendapatan rendah, masalah kesihatan mental ini selalunya tidak dikesan. Hasil penyelidikan oleh Mental Health Foundation UK menunjukkan bahawa risiko masalah kesihatan mental adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang berada di taraf sosio-ekonomi rendah. Kehilangan pekerjaan dan jumlah hutang yang meningkat secara mendadak akibat kesan ekonomi pandemik Covid-19 boleh menyebabkan krisis kesihatan mental di kalangan mereka yang rentan dari segi kewangan.

Oleh kerana masalah kesihatan mental dan kewangan saling berhubungkait, respons kita sewajarnya mengambil kira kaitan ini dan seterusnya, memastikan ada saluran bantuan yang mengambilkira kedua-dua aspek ini.

Memperbaiki Sistem Sokongan

Buat masa sekarang, seseorang yang menghadapi masalah kesihatan mental mungkin akan mendapatkan bantuan dari kaunselor atau pakar psikiatri. Individu yang mengalami masalah kewangan pula akan berurusan dengan bank untuk menyelesaikan masalah kewangan tersebut; mereka juga boleh dirujuk kepada agensi seperti AKPK untuk pengurusan kewangan berhemat. Mereka yang menghadapi masalah ini mungkin tidak menyedari bahawa kedua – dua masalah tersebut adalah berkaitan, dan seterusnya mendapatkan bantuan untuk menyelesaikan satu masalah sahaja.

Kita perlu mengambil langkah yang, pertamanya, akan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang hubungan antara masalah kewangan dan kesihatan mental. Ini juga boleh membantu usaha untuk menghilangkan stigma berkaitan isu ini , dan mengalakkan orang ramai lebih terbuka untuk mendapatkan bantuan sewajarnya.

Kita juga memerlukan sistem atau rangkaian yang membolehkan rujukan silang antara pihak yang menangani masalah kewangan dengan mereka yang menyediakan perkhidmatan kesihatan mental. Sudah tentu, pegawai pinjaman kewangan tidak boleh menjadi ahli psikologi, dan sebaliknya – tetapi rujukan silang ini bermakna seseorang individu itu boleh mendapatkan bantuan yang bersesuaian dengan keadaan yang mereka sedang alami.

Yang penting, kita dapat memberi panduan tepat serta maklumat berguna dan seseorang yang menghadapi masalah kewangan boleh diberi pilihan untuk mendaftar untuk mendapatkan bantuan kesihatan mental dan sebaliknya.

 Program Sinergi Sosial (SSP) yang dilancarkan oleh Perkeso pada tahun 2018, adalah contoh bagaimana respons bersepadu dapat dirancang. Program ini menghimpunkan beberapa agensi dan organisasi yang bekerjasama di bawah pendekatan ‘no-wrong-door’. Program ini membolehkan rujukan silang antara pihak-pihak untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pelanggan.

Pelan Jangka Panjang: Garis Panduan Bersama

Walaupun kaunselor kewangan bukan pakar kesihatan mental dan sebaliknya, namun terdapat ruang untuk membina rangkaian perkongsian pengetahuan dan seterusnya membangunkan garis panduan bersama supaya barisan hadapan di kedua-dua sektor lebih bersedia dalam menangani masalah ini.

Contoh garis panduan yang dimaksudkan sudah wujud di beberapa negara, terutamanya di Eropah yang terkesan dengan krisis kewangan pada tahun 2008. Money Advice Liaison Group di UK menyediakan garis panduan untuk organisasi dan barisan hadapan ketika berurusan dengan pengguna yang mengalami masalah kesihatan mental serta kewangan. Sementara itu, Mental Health First Aid Australia menyediakan garis panduan berasingan untuk kakitangan institusi kewangan, akauntan, kaunselor kewangan dan profesional kesihatan mental ketika berurusan dengan individu yang mempunyai masalah kesihatan mental dan kewangan.

Di Malaysia, portal MyHealth memberikan panduan am mengenai hubungan antara hutang dan kesihatan mental, tetapi masih ada ada banyak ruang untuk penambahbaikan bagi mencapai tahap garis panduan yang disebutkan di atas tadi.

Akhir kata

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan negara-negara prihatin dan mengutamakan penyediaan yang mencukupi bagi menangani masalah  kesihatan mental dalam merangka respons terhadap pandemik Covid-19. Ini membuka peluang untuk kita memikirkan semula bagaimana kita mendekati isu-isu yang berkaitan dengan kesihatan mental. Pendekatan dan pola pemikiran berintegrasi perlu untuk menguruskan cabaran-cabaran ini. Kegagalan untuk mendekati kesihatan mental melalui pendekatan yang lebih bersepadu akan menyebabkan usaha – usaha di lakukan terperangkap dalam ‘gelembung’ yang berasingan, dan seterusnya tidak dapat memanfaatkan orang ramai.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS