Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.
Bagaimanakah sokongan rakyat Malaysia terhadap hukuman mati berubah dengan jenayah dan situasi yang berbeza? Kami menjawab persoalan ini melalui kajian persepsi atas hukuman mati di Malaysia.
By Jia Vern Tham & Nelleita Omar30 March 2021
Muat turun Laporan Penuh ‘Apakah Pendirian Sebenar Rakyat Malaysia Tentang Hukuman Mati?’
Dalam bahagian pertama laporan kami mengenai persepsi terhadap hukuman mati di Malaysia, kami telah kongsikan beberapa sorotan menarik, antaranya, bahawa majoriti kecil (60% daripada kesemua responden) merasakan hukuman mati masih diperlukan di dalam sesebuah masyarakat. Walau bagaimanapun, sejumlah yang agak besar juga iaitu kira-kira satu pertiga daripada responden berada di atas pagar tentang isu ini.
Sokongan untuk hukuman mati sebenarnya lebih bersyarat dan tersirat berbanding dengan dapatan tinjuauan ‘ya/tidak’ yang mudah. Melalui laporan ini, kami kongsikan dapatan kajian kami yang lebih menghalusi persepsi terhadap hukuman mati – termasuk hukuman mati mandatori – dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuklah jenis kesalahan, keseriusan jenayah dan juga niat tertuduh. Kami juga telah menguji pandangan responden atas hukuman yang dianggap adil untuk contoh jenayah yang diadaptasi dari kes-kes sebenar.
Sokongan bagi hukuman mati jauh lebih tinggi untuk jenayah kejam terhadap individu seperti kes pembunuhan dan rogol (73% daripada kesemua responden) berbanding dengan terrorisme atau genosid (47% daripada kesemua responden), meskipun jumlah yang terbunuh dalam situasi kedua mungkin lebih tinggi daripada situasi pertama. Hal ini sekali lagi menunjukkan peranan perasaan kasihan untuk mangsa individu serta keluarga mereka dalam sokongan terhadap hukuman mati.
Secara amnya, sokongan responden terhadap hukuman mati melonjak dengan peningkatan tahap keseriusan dan niat penjenayah. Kesalahan yang mempunyai sokongan tertinggi bagi hukuman mati adalah ‘pembunuhan dengan niat’. 85% daripada responden memilih hukuman mati sebagai hukuman maksimum dan yang paling setimpal untuk jenayah ini, dengan hampir separuh daripada kesemua responden memilih hukuman mati mandatori – satu kadar yang signifikan.
Nota. Pilih ikon ‘gear’ di bahagian bawah kanan carta untuk melihat responden berdasarkan demografik mereka, atau tekan pada setiap bulatan untuk maklumat lanjut.
Jelas bahawa niat penjenayah adalah penting kepada responden. Berbanding dengan jenayah dengan niat, hanya 42% daripada responden memilih hukuman mati bagi kes-kes yang mengakibatkan kecederaan teruk atau kematian tanpa niat atau secara tidak sengaja, manakala hanya 4% daripada responden memilih hukuman mati mandatori bagi kesalahan tersebut.
Apabila fakta kes dikemukakan, pendirian responden terhadap hukuman mati bertukar menjadi lebih sederhana dari pendirian awal mereka, walaupun ia melibatkan kes pembunuhan yang dirancang. Dengan menggunakan fakta dari kes sebenar (yang disusun semula bagi membuang butiran nama atau identiti pihak-pihak terlibat), kami menguji sentimen responden tentang hukuman yang setimpal untuk senario di mana mangsa penderaan rumahtangga didapati bersalah membunuh penderanya. Hanya 27% daripada responden memilih hukuman mati untuk situasi ini : perbezaan yang ketara berbanding 85% responden yang memilih hukuman mati bagi pembunuhan dengan niat. Kewujudan faktor-faktor mitigasi atau pengurangan seperti ini amat penting untuk mengubah pendirian responden ke atas hukuman mati.
Bandingkan dengan kes pemuda berperwatakan lembut (kes T. Nhaveen, disusun semula bagi membuang butiran identiti) yang meninggal dunia akibat diserang oleh rakan sebayanya; contoh ini ternyata mengundang kecaman yang lebih tinggi dari para responden kerana kekurangan faktor mitigasi atau pengurangan. 66% daripada responden memilih hukuman mati. Namun begitu, kurang daripada seperempat responden memilih hukuman mati mandatori walaupun sifat kes tersebut begitu kejam.
Persepsi mengenai hukuman mati dan hukuman setimpal dapat dikatakan paling relevan untuk kesalahan berkaitan dadah. 73% daripada banduan yang menunggu hukuman mati pada hari ini adalah untuk kesalahan mengedar dadah.
Namun, bagi pengedar dadah secara kecil-kecilan atau mereka yang membeli untuk penggunaan peribadi, sokongan responden untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap mereka agak rendah. Hanya 35% daripada responden memilih hukuman mati sebagai hukuman setimpal untuk pengedar kecil-kecilan, dan hanya 21% memilih hukuman mati untuk mereka yang membeli untuk penggunaan peribadi.
Seperti jenayah yang menyebabkan kecederaan teruk dan kematian, niat dan keseriusan juga mendorong sokongan untuk hukuman bagi kesalahan berkaitan dadah. 63% daripada responden memilih hukuman mati bagi kesalahan pemerdagangan dadah berskala besar dengan 28% daripada kesemua responden memilih hukuman mati mandatori.
Terdapat belas ihsan yang lebih terhadap mereka yang ditangkap menjadi keldai atau penyeludup dadah. Hanya 15% daripada responden menyokong hukuman mati terhadap mereka yang membawa dadah tanpa pengetahuan. Sokongan terhadap hukuman mati meningkat kepada 38% bagi penyeludup dadah yang bertindak secara sengaja, sama seperti tahap sokongan yang ditunjukkan bagi jenayah pemerdagangan dadah berskala kecil yang dinyatakan di atas.
Jelas, apabila dikemukakan dengan faktor-faktor mitigasi yang diambil dari contoh kes sebenar, pendirian responden terhadap hukuman mati dan kesalahan kecil berkaitan dadah sebelum ini bertukar menjadi lebih sederhana. Sebagai contoh, hanya 14% daripada responden memilih hukuman mati bagi seorang remaja yang ditangkap dengan 600 gram kanabis*.
*Kes sebenar yang mana seorang pemuda berusia 18 tahun daripada isi rumah yang berpendapatan rendah dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar dadah.
Jantina. Wanita lebih cenderung berbanding lelaki untuk menyokong hukuman mati bagi penjualan dadah berskala kecil dan pengangkutan dadah secara sengaja.
Umur. Mereka yang berusia 45 tahun ke atas adalah lebih bersikap menghukum terhadap pesalah dadah berbanding mereka yang berusia bawah 45 tahun. Semakin berusia seseorang responden, semakin cenderung mereka untuk mengenakan hukuman mati kepada pesalah dadah.
Tahap Pendidikan. Pemegang ijazah sarjana muda lebih cenderung untuk memilih hukuman mati bagi pengedar dadah berskala kecil berbanding mereka yang berpendidikan menengah.
Seperti yang dilihat dalam Bahagian 1 laporan kajian kami, rakyat Malaysia secara umumnya bersifat konservatif dalam pandangan mengenai jenayah dan hukuman. Majoriti (60%) masih percaya bahawa hukuman mati diperlukan dalam sebuah masyarakat berbanding hanya 4% daripada responden yang percaya bahawa hukuman mati tidak patut dilaksanakan langsung. Sebilangan besar daripada responden memegang kepada prinsip pembalasan (71%) dan juga pada kepercayaan pencegahan (85%).
Namun begitu, pendirian rakyat Malaysia terhadap hukuman mati, terutamanya hukuman mati mandatori, semakin menurun apabila berhadapan dengan kesalahan yang berbeza keseriusan dan niat. Sokongan untuk hukuman mati menurun lagi apabila diberi konteks atau faktor mitigasi di sebalik sesuatu jenayah.
Sebagai gambaran menyeluruh mutakhir: sebanyak 60% daripada responden percaya bahawa hukuman mati diperlukan dalam masyarakat, tetapi hanya 1% daripada para responden memilih hukuman mati mandatori sebagai hukuman yang setimpal untuk semua senario jenayah yang kami kemukakan. Kurang daripada 10% dari kalangan responden memilih hukuman mati mandatori dalam senario jenayah berkaitan dadah.
Garis panduan untuk kadar penjatuhan hukuman di Malaysia jelas tidak selari dengan pertimbangan orang ramai, terutamanya bagi kesalahan berkaitan dadah. Dengan kemunculan marijuana perubatan, isu hukuman setimpal dan keadilan hanya akan menjadi lebih meruncing.
Pada awal tahun 2020, sebuah Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Tan Sri Richard Malanjum untuk mengkaji semula hukuman alternatif bagi hukuman mati mandatori telah mengemukakan cadangan mereka kepada kerajaan Pakatan Harapan ketika itu. Mantan Menteri Undang-undang Datuk Liew Vui Keong juga telah berjanji untuk mengemukakan cadangan kepada Jemaah Kabinet untuk perbincangan sebelum membawa hal tersebut ke Parlimen.
Kami berharap agar kerja-kerja Jawatankuasa Khas tersebut diteruskan di bawah kerajaan semasa dan kami menuntut arah dasar yang jelas serta ingin menyaksikan kemajuan yang lebih nyata dalam menutup jurang antara peruntukan dalam undang-undang dan pertimbangan kolektif mengenai apa yang dimaksudkan sebagai hukuman yang adil. Berdasarkan kes seperti Dr. Ganja dan beratus lagi yang kini menunggu hukuman mati, jelaslah bahawa banyak lagi kerja-kerja perundangan yang perlu diteruskan walaupun dalam kesibukan mengurus ‘norma baharu’ dunia Covid-19. The Centre juga menyokong agar kajian pendapat orang ramai yang lebih terperinci lagi dijalankan, bukan sahaja bagi merakam pendapat umum dengan lebih menyeluruh tetapi juga untuk memberi sokongan kepada penggubal dasar dan undang-undang untuk membuat pembaharuan dasar dan undang-undang yang lebih baik.
Emel pandangan atau cadangan anda ke editorial@centre.my.
The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.