RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Research Societal Contracts

Bahagian 1: Sejauh Manakah Rakyat Malaysia Menyokong Hukuman Mati?

Jawapannya bukan semudah ‘Ya’ atau ‘Tidak’

Adakah rakyat Malaysia benar-benar menyokong hukuman mati? Kami meninjau persoalan ini dengan mendalam melalui kajian ini.

By Jia Vern Tham & Nelleita Omar30 March 2021


Read English Version

Muat turun Laporan Penuh ‘Apakah Pendirian Sebenar Rakyat Malaysia Tentang Hukuman Mati?’

Pada tahun 2018, kerajaan Pakatan Harapan pada ketika itu telah mengumumkan penghapusan hukuman mati untuk semua kesalahan yang menetapkan hukuman tersebut. Langkah ini, yang dilihat sebagai progresif oleh sebahagian masyarakat Malaysia, juga ada menerima reaksi negatif dari orang ramai. Mengeruhkan keadaan pada masa itu juga adalah beberapa kenyataan dasar yang bertentangan dan mengelirukan.

Sejak pengumuman tersebut, Malaysia telah mengalami pertukaran kerajaan dan masih lagi mengalami cabaran pandemik global Covid-19. Sepertimana isu-isu lain, persoalan tentang hukuman mati seolah-olah lenyap dari muka penggubalan dasar dan kelihatan seperti tiada resolusi.

Berdasarkan pandangan-pandangan yang ditonjolkan dalam pelbagai sidang akhbar, memorandum dan petisyen di ruang-ruang awam, pendirian rakyat Malaysia berkenaan isu hukuman mati boleh diandaikan sebagai ‘konservatif’. Pungutan-pungutan suara yang pernah diadakan sebelum ini juga menyokong andaian tersebut. Sebagai contoh, satu undian awam dikelolakan akhbar telah melaporkan bahawa sejumlah besar, iaitu 82% daripada responden, menentang pemansuhan hukuman mati.  

Walau bagaimanapun, adakah kefahaman rakyat Malaysia berkenaan hukuman mati benar-benar jelas, dan adakah pendirian mereka benar-benar tegas mengenai hukuman mati? Dan sejauh manakah kita dapat mengukur sentimen orang ramai tentang isu yang rumit dan penuh emosi ini berdasarkan undian setuju/tidak bersetuju yang mudah?

Kami di The Centre ingin mengetahui dengan lebih lanjut pendirian masyarakat berkenaan isu pengadilan ataupun hukuman yang setimpal. Oleh itu, kami telah cuba mencari jawapan kepada persoalan-persoalan tersebut melalui satu kajian yang lebih mutakhir.

Primer kami merumuskan isu berkenaan dengan hukuman mati di Malaysia. 

Tentang Kajian Kami

Bersama rakan kerja tinjauan lapangan kami iaitu Hometrics, The Centre telah menjalankan satu tinjauan secara meluas antara 29 November 2019 dan 6 Disember 2019 untuk mengumpul pendapat orang ramai terhadap hukuman mati. Kami telah mengkaji kepastian pandangan mereka dengan meneliti reaksi mereka terhadap jenis-jenis kesalahan yang membawa kepada hukuman mati, kewujudan faktor-faktor yang menggalak atau mengurangkan sokongan kepada hukuman mati, dan juga hukuman yang wajar bagi beberapa senario yang berasaskan kes-kes sebenar.

Tahukah anda:
Sebilangan besar kes hukuman mati di Malaysia adalah kerana kesalahan berkaitan dadah.

Soalan-soalan di dalam borang tinjauan diadaptasi daripada tiga kajian sedia ada berkenaan hukuman mati iaitu tinjauan pendapat umum yang meluas di Malaysia oleh Profesor Roger Hood pada tahun 2013,  kajian di Singapura yang dilaksanakan oleh penyelidik di National University of Singapore (NUS) pada 2018, serta skala sikap terhadap hukuman mati yang dijalankan oleh Kevin O’Neil dan  pasukan penyelidik beliau dari Amerika Syarikat.

Tinjauan dalam pilihan Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan Mandarin ini telah dijalankan melalui 500 wawancara tatap muka di Semenanjung Malaysia dengan pecahan jantina, umur, kumpulan etnik yang mirip pecahan senegara. Pecahan demografi responden adalah seperti berikut:

Catatan: Oleh kerana kekangan tertentu, tinjauan tatap muka ini hanya dijalankan di Semenanjung Malaysia sahaja.

Majoriti berpendapat hukuman mati harus wujud, tetapi ramai juga di atas pagar

Para responden disoal jika mereka berpendapat bahawa hukuman mati merupakan suatu keperluan dalam sesebuah masyarakat. Majoriti yang kecil, 60%, bersetuju atau sangat bersetuju dengan pernyataan ini. Walau bagaimanapun, 31% daripada para responden, satu jumlah yang agak signifikan, mengaku berada di tengah-tengah iaitu bukan setuju tetapi juga bukan tidak setuju. Hasil ini menunjukkan bahawa persepsi rakyat Malaysia tentang hukuman mati tidaklah seperti gambaran yang diperolehi melalui undian dalam talian. Apabila tinjauan dilakukan berdasarkan pecahan demografi Malaysia, didapati bahawa ramai juga rakyat Malaysia sebenarnya tidak pasti mengenai isu hukuman mati.

Nota Capaian: Pilih ikon ‘gear’ di bahagian bawah kanan  carta untuk melihat para responden berdasarkan demografik mereka atau tekan pada setiap bulatan untuk melihat maklumat lebih lanjut.

Bagi mengesahkan pendirian umum mereka terhadap keperluan hukuman mati, para responden juga diminta untuk menyatakan jika pendirian atau pendapat mereka terhadap hukuman mati adalah kukuh. 59% daripada para responden bersetuju atau sangat bersetuju bahawa mereka mempunyai pandangan yang kukuh atau tegas terhadap hukuman mati. Namun, selebihnya, iaitu 41% tidak berapa pasti— satu lagi perincian penting. 

Sokongan untuk hukuman mati didorong prinsip ‘pencegahan’ dan ‘pembalasan’

Kajian-kajian di peringkat global yang dijalankan atas persepsi masyarakat tentang hukuman mati telah mengenal pasti empat faktor utama atau kepercayaan yang mendorong sokongan atau tentangan terhadap hukuman mati: pembalasan, pencegahan, pragmatisme dan pemulihan.

Sokongan rakyat Malaysia terhadap hukuman mati umumnya didorong oleh kepercayaan mereka dalam prinsip pencegahan. Majoriti yang amat ketara, iaitu sebanyak 85% daripada para responden, percaya bahawa hukuman mati mampu menyebabkan seseorang untuk berfikir dua kali daripada melakukan sesuatu jenayah. Kepercayaan pada prinsip pencegahan ini adalah agak kuat dalam sesetengah masyarakat, namun tiada bukti yang kukuh sehingga kini yang menunjukkan bahawa hukuman mati mempunyai kesan pencegahan.

Kepercayaan kepada prinsip pembalasan juga tinggi – 71% daripada responden menyatakan mereka akan merasa puas hati jika pesalah jenayah-jenayah tertentu menebus dosa dengan nyawa mereka. Menariknya, pegangan kepada prinsip pembalasan ini lebih kepada keinginan responden untuk mendapatkan keadilan bagi keluarga mangsa (73% responden) berbanding keadilan bagi pihak masyarakat (60% responden).

Secara perbandingan, kepercayaan terhadap prinsip pragmatisme dan pemulihan sebagai faktor di sebalik pendirian responden terhadap hukuman mati tidaklah begitu kuat. Dari segi pragmatisme, responden berbelah bahagi. Hanya 50% daripada responden bersetuju bahawa menjatuhkan hukuman mati lebih berkesan dari segi kos berbanding menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Satu pencarian yang menarik dari tinjauan ini: pemegang ijazah lebih bersetuju bahawa hukuman mati adalah lebih berkesan dari segi kos berbanding dengan responden yang tidak memegang ijazah.

Responden berbelah bahagi mengenai pemberian peluang kedua

Walaupun 60% daripada responden menyokong hukuman mati secara umumnya, terdapat majoriti yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 83%, yang bersetuju dengan idea pemenjaraan seumur hidup sebagai hukuman.

Namun begitu, pada masa yang sama, hanya 39% daripada responden bersetuju untuk memberi peluang kedua kepada penjenayah yang telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Hanya 41%, iaitu kurang daripada setengah daripada para responden, bersetuju dengan pengurangan tempoh hukuman atau pengampunan. Hasil ini memberi gambaran bahawa jumlah yang agak signifikan bersikap agak tegas terhadap mereka yang telah didapati bersalah.

Beberapa perbezaan demografik yang menarik

Kumpulan etnik. Responden Cina adalah 16% lebih cenderung untuk menyokong hukuman mati berbanding responden Melayu/Bumiputera, manakala responden India adalah 18% lebih cenderung untuk menyokong hukuman mati berbanding responden Melayu/Bumiputera.

Tahap pendidikan. Responden berpendidikan tinggi adalah 45% lebih cenderung untuk menyokong hukuman mati berbanding responden berpendidikan menengah. 

Tahap pendapatan. Responden yang mempunyai pendapatan isi rumah RM8,000 dan ke atas adalah 23% kurang cenderung untuk menyokong hukuman mati berbanding responden yang mempunyai pendapatan isi rumah bawah RM3,000.

Kekalkan tapi jangan laksanakan?

Hanya 4% daripada responden kepada tinjauan kami percaya bahawa hukuman mati patut tidak dilaksanakan langsung berbanding 60% daripada responden yang percaya bahawa hukuman mati masih diperlukan dalam sesebuah masyarakat. Adakah hal ini berpunca daripada kepentingan simbolik hukuman mati dalam rang undang-undang kita? Dalam editorial kami yang lalu, kami telah membuat hipotesis bahawa kewujudan hukuman mati adalah penting dari segi simbolik untuk kebanyakan rakyat Malaysia tetapi soal pelaksanaannya adalah lebih rumit.

Kami dapati bahawa hipotesis di atas sedikit sebanyak disokong oleh hasil tinjauan kami. Pendapat rakyat Malaysia atas pelaksanaan hukuman mati – termasuk hukuman mati mandatori – sangat bergantung kepada jenis kesalahan serta kehadiran faktor-faktor lain. Baca selanjutnya di Bahagian 2 laporan kami.

Emel pandangan atau cadangan anda ke editorial@centre.my


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS