Research| Public Goods

PKP dan Kesejahteraan Mental: Rumahku Syurgaku?

Bahagian 1: Perumahan dan kesesakan semasa PKP

Apakah keadaan kesejahteraan mental di Malaysia semasa PKP? Kami mengkaji dan lihat bagaimana ia berkait dengan keadaan kediaman.

By Aziff Azuddin | 27 May 2020


Sedar atau tidak, sudah masuk hampir tiga bulan rakyat Malaysia berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Impak PKP ke atas kesihatan mental rakyat Malaysia telah mula kelihatan. Sejak permulaan PKP, talian bantuan psikologi Mercy Malaysia/Kementerian Kesihatan Malaysia telah menerima ribuan pesanan serta panggilan. Kumpulan sokongan seperti Befrienders turut menyaksikan peningkatan yang mendadak dari segi jumlah panggilan, dengan dua-pertiga daripadanya berkaitan PKP.

Kesihatan mental jelas mempunyai kesan ketara terhadap ekonomi: kajian oleh RELATE mendapati pada tahun 2018, kos berkaitan isu kesihatan mental di kalangan pekerja dianggarkan bernilai sebanyak RM14 bilion atau 1% dari KDNK. Berdasarkan dapatan ini dan kebimbangan yang meningkat terhadap isu kesejahteraan mental sepanjang tempoh PKP, The Centre telah menjalankan kajian terhadap kesan perubahan-perubahan drastik yang dibawa oleh PKP ke atas kesejahteraan mental rakyat Malaysia. Artikel ini – Bahagian 1 – tertumpu kepada keadaan persekitaran dan tempat tinggal semasa PKP, dan Bahagian 2 akan membincangkan kesejahteraan kewangan.


Tentang Kajian

Kajian dijalankan melalui survei atas talian yang diedarkan melalui kaedah ‘snowball sampling’ (pemilihan secara tidak rawak) antara April 5 dan April 10. Setelah berunding dengan pakar psikiatri dan psikologi, kami telah memutuskan untuk menggunakan kaji selidik DASS-21 untuk mengukur kadar kesejahteraan mental.

Kaji selidik DASS-21 digunakan untuk mengukur kadar kemurungan, keresahan dan stres. Ia tidak digunakan dalam kajian ini untuk mendiagnosis kemurungan, keresahan atau stres sebagai masalah kesihatan.

Kaji selidik DASS-21 mengukur kadar kesejahteraan emosi individu dari tiga aspek berbeza: kemurungan, keresahan dan stres. Bagi kemurungan, ia melihat dari sudut rasa tidak puas hati secara am, keputusasaan dan kehilangan minat. Bagi keresahan, ia melihat reaksi fizikal terhadap situasi serta pengalaman keresahan secara am. Bagi stres, ia menilai kesukaran untuk menenangkan diri, kegelisahan, ketidaksabaran serta reaksi berlebihan.

Walaupun penilaian DASS-21 boleh digunakan oleh semua pihak untuk penyelidikan seperti kajian ini, keputusan klinikal berdasarkan pemarkahan hanya boleh diambil oleh pakar perubatan setelah pemeriksaan klinikal terperinci dilakukan.

Melalui kaji selidik ini, kesejahteraan mental boleh dikenal pasti berdasarkan penilaian individu itu sendiri terhadap keadaan mental mereka, dan bukan hanya dengan membuat andaian berdasarkan faktor luaran. Markah-markah dari jawapan mereka kepada soalan-soalan DASS21 bagi dimensi kemurungan, keresahan dan stres kemudiannya diklasifikasikan kepada beberapa peringkat bermula dari normal, ringan, sederhana, teruk dan amat teruk (lihat rajah 1).


Jadual 1: Skala DASS-21

Kajian ini berjaya mengumpulkan 1,103 respons, di mana 19 darinya  telah ditolak kerana pengulangan atau jawapan yang tidak menurut piawaian. Jumlah sampel akhir adalah 1,084. Seperti kebanyakan kaji selidik, masalah responden terkurang atau terlebih memberi maklum balas boleh berlaku. Ini telah dikenalpasti dan tidak dimasukkan ke dalam kajian.

Memandangkan kaedah ‘snowball sampling’ telah digunakan, maklumbalas kami tidak mewakili sampel berstrata nasional. 57% responden dikenal pasti tinggal di kawasan bandar, dengan 76% dari Selangor dan Kuala Lumpur. 66% dari responden adalah perempuan, 81% Melayu/Bumiputera dan 42% dari kalangan umur 25-34. Pembaca dinasihatkan mentafsir hasil kajian dengan mengambil kira kekangan-kekangan ini.  


Kesejahteraan Mental semasa PKP

MAKLUMAN: Seperti ditekankan sebelum ini, kajian ini bukan bagi tujuan diagnostik – kami tidak mendiagnosis responden dengan kemurungan, keresahan atau tekanan sebagai masalah kesihatan. Maklum balas kaji selidik DASS-21 hanya mengukur kadar intensiti perasaan kemurungan, keresahan atau tekanan seperti dilaporkan sendiri oleh para responden.

Rajah 1 menyimpulkan dapatan kami tentang kesejahteraan mental para responden. Survei kami mendapati rakyat Malaysia melaporkan kadar emosi negatif yang tinggi semasa tempoh PKP. 48% dan 45% dari responden melaporkan mengalami keresahan dan kemurungan dengan kadar tingkat yang berbeza-beza, sementara 34% melaporkan mengalami tekanan, juga dengan kadar tingkat yang berbeza. Dari jumlah ini, 22% responden melaporkan kadar tekanan yang teruk atau amat teruk, manakala 20% dan 15% melaporkan kadar keresahan dan kemurungan yang teruk dan amat teruk.

Malangnya, kami tidak berjaya menemui kadar nasional garis dasar ‘waktu biasa’ untuk dibandingkan dengan kadar ini. Walaubagaimanapun, ketiadaan garis dasar tidak menafikan kesan serius kadar emosi negatif yang dialami rakyat Malaysia sepanjang PKP.


Rajah 1: Hampir separuh mengalami emosi negatif


Perbezaan Demografi

Gender

Rajah 2a-2c menunjukkan perbezaan kadar kemurungan, keresahan dan tekanan antara gender. Perempuan melaporkan kadar emosi negatif yang ketara lebih tinggi berbanding lelaki. Perbezaan antara perempuan dan lelaki juga lebih ketara bagi kemurungan dan keresahan, dimana 38% dan 48% perempuan melaporkan mereka mengalami kedua-dua emosi negatif ini, berbanding 25% dan 38% untuk lelaki.

Perempuan turut merekodkan kadar kemurungan, keresahan dan tekanan di kadar ‘teruk’ dan ‘amat teruk’ yang lebih tinggi (21%, 26% dan 18%) berbanding lelaki (14%, 15%, 10%).


Rajah 2a: Perbezaan antara Gender bagi Kadar Kemurungan


Rajah 2b: Perbezaan antara Gender bagi Kadar Keresahan


Rajah 2c: Perbezaan antara Gender bagi Kadar Tekanan


Umur

Berdasarkan Rajah 3a-3c, kami mendapati bahawa 60% dari golongan berumur 18-24 dan 25-34 melaporkan mengalami tanda-tanda kemurungan, manakala 50% dari golongan yang sama melaporkan tanda-tanda keresahan dan tekanan. Sebagai perbandingan, hanya 14% hingga 39% dari golongan lebih tua (35-44, 45-54, dan 55 ke atas) melaporkan tanda-tanda yang sama.

Dari segi kadar tanda-tanda emosi negatif yang dilaporkan, responden dari golongan umur 18-24 dan 25-34 merekodkan dua hingga tiga kali ganda lebih banyak tanda-tanda di kadar teruk dan amat teruk, berbanding golongan berumur 55 ke atas. Kira-kira 25% dari golongan muda melaporkan kadar tekanan yang teruk dan amat teruk, manakala kira-kira 33% melaporkan tanda-tanda keresahan dan kemurungan di kadar yang sama.


Rajah 3a: Perbezaan Kadar Kemurungan berdasarkan Umur


Rajah 3b: Perbezaan Kadar Keresahan berdasarkan Golongan Umur


Rajah 3c: Perbezaan Kadar Tekanan berdasarkan Golongan Umur


Keadaan hidup, PKP dan kesejahteraan mental

Kami bertanyakan responden beberapa soalan mengenai tempat tinggal mereka, dengan siapa mereka tinggal dan akses kepada ruangan peribadi sepanjang PKP.

Bagi kawasan tempat tinggal, 57% dari responden berada di bandar, sementara 42% berada di pinggir bandar dan luar bandar. Dari segi jenis rumah, 48% melaporkan tinggal di rumah teres, diikuti 22% penghuni kondominium dan apartment, manakala 3% merupakan penduduk rumah kos rendah.

Bagi tujuan analisa ini, kami mengecualikan responden yang tinggal di asrama. Jawapan di luar dari pilihan lazim juga dikecualikan.


Rajah 4: Jenis perumahan di kawasan pembandaran


Adakah jenis kediaman yang berbeza memberi kesan terhadap kesejahteraan mental?

Rajah 5a-5c menyimpulkan kesan jenis rumah kepada kesejahteraan mental. Kadar kemurungan dilaporkan hampir sama bagi setiap jenis kediaman kecuali bungalow dan kediaman berkembar.

Walaubagaimanapun, apabila merujuk kadar keresahan dan tekanan, kebolehubahan antara jenis-jenis kediaman adalah lebih ketara – sebagai contoh: mereka yang tinggal di kediaman kos rendah serta apartment/kondominium melaporkan kadar keresahan dan tekanan yang lebih tinggi berbanding penghuni jenis-jenis kediaman lain.

Secara keseluruhan, penghuni kediaman kos rendah mengalami kadar kemurungan, keresahan dan tekanan yang tertinggi dan melaporkan tanda-tanda emosi negatif di kadar yang lebih ekstrem, dengan 25%-32% dalam kategori teruk dan amat teruk.

Rajah 5a: Jenis kediaman dan kemurungan


Rajah 5b: Jenis kediaman dan keresahan


Rajah 5c: Jenis kediaman dan tekanan


Kesesakan dan kesejahteraan mental

Selain dari jenis kediaman, kami juga menilai kesan kesesakan terhadap kesejahteraan mental. Kami menanyakan responden jumlah bilik dan ruangan di dalam kediaman mereka dan jumlah bilangan isi rumah. (Responden turut ditanya tentang keluasan persegi unit kediaman mereka, tetapi hanya 40% memberikan anggaran keluasan).

Secara purata, responden melaporkan tinggal dengan tiga individu lain sepanjang tempoh PKP (jumlah isi rumah per unit: 4). Rata-rata unit kediaman memiliki 3 bilik tidur, 1 bilik mandi, 1 dapur dan 1 ruang tamu.

Kami mengukur kadar kesesakan dengan mengira nisbah individu kepada bilik tidur. Nisbah ini kemudiannya dibahagikan kepada tiga kelompok: rendah, sederhana dan tinggi, merujuk kepada pertambahan perbandingan individu dengan bilik tidur.

NOTA: Kaedah ini hanyalah indikasi mudah bagi mengukur kesesakan, dan tidak mengambil kira hubungan antara individu-individu dalam satu unit kediaman, yang turut mempunyai pengaruh terhadap kesejahteraan mental.

Rajah 6a menunjukkan bahawa individu yang tinggal di kediaman dengan tingkat kepadatan sederhana menunjukkan kadar tekanan yang sebanding dengan mereka dalam kategori kepadatan isi rumah rendah atau tinggi. Namun begitu, keparahan emosi negatif yang dilaporkan oleh penghuni isi rumah berkepadatan tinggi adalah lebih tinggi (28%) dari kadar yang dilaporkan responden dari isi rumah dengan berkepadatan rendah (19%). 

Tren yang sama dapat dilihat bagi kadar keresahan (Rajah 6b): lebih ramai responden yang tinggal di kediaman berkepadatan sederhana melaporkan mengalami keresahan, namun mereka yang melaporkan tanda-tanda emosi negatif yang lebih parah adalah dari isi rumah berkepadatan tinggi.

Bagi tekanan (Rajah 6c), responden dari isi rumah dengan tingkat kesesakan tinggi melaporkan kadar tekanan yang sedikit lebih tinggi (37%) berbanding isi rumah kesesakan rendah (33%) dan sederhana (36%). Kadar tekanan teruk dan amat teruk adalah lebih tinggi (19%) bagi isi rumah sesak, berbanding kurang sesak (14%) dan sederhana sesak (16%).


Rajah 6a: Tingkat kesesakan dan kemurungan


Rajah 6b: Tingkat kesesakan dan keresahan


Rajah 6c: Tingkat kesesakan dan tekanan

Di kalangan responden yang tinggal di kediaman dengan kesesakan rendah, juga ada mereka mempunyai status penghuni tunggal. Mereka merupakan individu yang menghabiskan tempoh PKP secara terasing kerana mereka tinggal bersendirian. Kami membandingkan kadar emosi negatif yang dialami oleh golongan ini berbanding mereka yang tinggal bersama orang lain semasa PKP.

Rajah 7a-7c menunjukkan kadar kemurungan, keresahan dan tekanan dialami, berdasarkan penghunian isi rumah. Responden dibahagikan kepada mereka yang tinggal bersendirian (penghuni tunggal), tinggal bersama orang lain (penghuni pelbagai)  atau mereka yang tinggal bersama isi rumah yang terdiri dari pelbagai generasi (penghuni intergenerasi). (Bagi tujuan analisa ini, isi rumah antara generasi ditakrifkan sebagai isi rumah berpenghuni pelbagai dengan anggota keluarga dari beberapa generasi misalnya atuk-nenek, ibu bapa dan anak-anak).

Kadar emosi negatif dialami oleh penghuni isi rumah tunggal adalah jauh lebih tinggi berbanding mereka yang tinggal bersama individu lain. 54% penghuni isi rumah tinggal melaporkan tanda-tanda kemurungan, diikuti oleh 50% dan 37% menunjukkan tanda-tanda keresahan dan tekanan. Oleh itu adalah tidak mengejutkan apabila isi rumah tunggal turut melaporkan kadar emosi negatif teruk dan sangat teruk yang tinggi.

Responden dari kumpulan penghuni intergenerasi melaporkan kadar kemurungan teruk dan amat teruk yang sedikit lebih rendah (Rajah 7a), sementara kadar keresahan teruk dan amat teruk (Rajah 7b) adalah setanding bagi ketiga-tiga kumpulan. Walaubagaimanapun, kadar tekanan teruk dan amat teruk (Rajah 7c) yang dilaporkan oleh individidu yang berada dalam isi rumah antara generasi adalah setanding dengan isi rumah tunggal.


Rajah 7a: Penghunian Isi Rumah dan Kemurungan


Rajah 7b: Penghunian Isi Rumah dan Keresahan


Rajah 7c: Penghunian Isi Rumah dan Tekanan


Ruang peribadi dan kadar kepuasan terhadap keadaan tempat tinggal

Kami turut bertanyakan responden dua soalan mengenai keadaan tempat tinggal mereka semasa PKP: 1) Adakah mereka mempunyai akses kepada ruang persendirian atau ruang peribadi, dan 2) Adakah mereka berpuas hati dengan keadaan tempat tinggal sekarang.

78% dari responden memberikan indikasi bahawa mereka mempunyai ruang untuk menyendiri/ruangan peribadi dan 82% melaporkan berpuashati dengan keadaan tempat tinggal sepanjang tempoh PKP.

Dari Rajah 8a-8c, kami mendapati bahawa mereka yang tidak mempunyai akses kepada ruangan peribadi melaporkan kadar kemurungan, keresahan dan tekanan yang lebih tinggi. Tidak menghairankan, tren yang sama turut dapat dilihat dikalangan mereka yang tidak berpuashati dengan keadaan tempat tinggal.

Walaubagaimanapun, perbandingan antara kedua-dua kumpulan menunjukkan bahawa lebih ramai di kalangan mereka yang tidak berpuashati dengan keadaan tempat tinggal, melaporkan tanda-tanda kemurungan (76%), keresahan (70%) dan tekanan (63%), berbanding mereka yang tidak mempunyai akses kepada ruangan peribadi (56%, 51% dan 42% masing-masing).


Rajah 8a: Keadaan tempat tinggal semasa PKP dan tekanan

Rajah 8b: Keadaan tempat tinggal semasa PKP dan keresahan


Rajah 8c: Keadaan tempat tinggal semasa PKP dan tekanan


Apa yang Merisaukan Orang Ramai?

Risau tentang orang tersayang, diri sendiri

Kami juga bertanya kepada responden tentang apa yang merisaukan mereka berkenaan dengan PKP. Walaupun ini bukan merupakan fokus utama kajian kami, respons yang diperolehi memberikan gambaran yang menarik: sepanjang PKP, responden jauh lebih risaukan orang tersayang mereka berbanding diri sendiri. 62% melaporkan mereka risaukan kesihatan diri, berbanding 81% yang melahirkan kerisauan terhadap kesihatan orang tersayang. Begitu juga dengan keselamatan diri:  61% melaporkan risau dengan keselamatan diri, berbanding 76% risau keselamatan orang tersayang.

Satu lagi pemerhatian menarik adalah responden lebih risau terhadap keadaan kewangan peribadi setelah PKP (56%) berbanding sepanjang tempoh PKP (47%). Ini mungkin menandakan kepekaan responden terhadap kesan kejatuhan ekonomi sepanjang PKP, yang mungkin akan berpanjangan sekalipun PKP telah tamat. (Perbincangan lebih terperinci tentang kesan kewangan disebabkan PKP akan dibincangkan dalam Bahagian 2).


Rajah 9: Kerisauan Utama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) Covid-19


Pertimbangan Dasar

Kajian ini telah mendedahkan penemuan yang membimbangkan, namun tidak mengejutkan: hampir 50% responden mengalami beberapa bentuk keadaan emosi negatif: 22% melaporkan mengalami keresahan teruk dan amat teruk, manakala 20% dan 15% mengalami kemurungan dan tekanan di kadar yang sama. (Dengan ketiadaan garis dasar rujukan, kami tidak dapat membuat perbandingan kadar ini dengan kadar-kadar di luar masa krisis).

Adalah penting untuk difahami bahawa isu-isu kesihatan mental yang kita hadapi bukan baru muncul sepanjang tempoh PKP, atau khusus disebabkan oleh Covid-19. Namun begitu, tempoh PKP telah memberi fokus kepada keparahan masalah ini, dan perlunya tindakan diambil dengan kadar segera. ‘Norma baru’ yang sering digunakan bagi merujuk dunia selepas Covid-19 memberikan peluang untuk membuat perubahan dan penyesuaian yang diperlukan.

Kepentingan kesihatan mental kepada negara dan ekonomi bermakna kita seharusnya mementingkan penambahbaikan dan membangunkan perkhidmatan serta sokongan kesihatan mental. Angka terbaru menganggarkan terdapat kira-kira 700 orang pakar psikologi dan 400 orang pakar psikiatri di Malaysia. Dalam negara di mana dianggarkan terdapat 32 juta penduduk, terdapat keperluan jelas untuk menambahkan jumlah pakar kesihatan mental terlatih serta kaunselor dan sukarelawan terlatih, agar akses kepada kesihatan mental dapat diperluaskan kepada seluruh lapisan masyarakat. Sepertimana ditunjukkan oleh kajian kami, kemurungan, keresahan dan tekanan dilaporkan oleh responden tidak kira yang tinggal di rumah kos rendah atau bungalow mewah.

Usaha untuk menghapuskan stigma terhadap kesihatan mental juga perlu dipertingkatkan. Antara contoh inisiatif yang boleh dijalankan ialah meningkatkan kefahaman tentang kesejahteraan mental sebagai sebahagian silibus pendidikan, serta memperbaiki kesedaran terhadap kesihatan mental di tempat kerja.

PKP turut mendedahkan sifat sebenar ketidaksamaan, termasuk dari segi tempat kediaman kita. Dasar-dasar yang berkaitan dengan piawaian tempat kediaman, contohnya, harus memberikan pertimbangan kepada impak ruang kediaman ke atas kesejahteraan mental, terutamanya bagi golongan masyarakat paling rentan yang tinggal di kediaman kos rendah.



Dalam Bahagian 2, kajian kami tertumpu kepada persoalan bagaimana PKP telah memberi kesan terhadap keadaan kewangan.

Sekiranya anda mengalami gangguan emosi atau masalah kesihatan mental akibat dari PKP, anda boleh mendapatkan bantuan melalui talian-talian hotline berikut: Mercy Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia ‘Crisis Preparedness and Response Centre’s psychosocial support hotline’ di 03-29359935; serta hotline Talian Kasih Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga di 15999 atau WhatsApp 019-2615999.