RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Primer Societal Contracts

Perihal Ucapan Kebencian di Malaysia Hari Ini

Pengenalan terhadap ucapan kebencian dan peruntukan undang-undang yang berkaitan.

By Jia Vern Tham & Nelleita Omar14 November 2019


Read English Version

Apakah ucapan kebencian?

  • Definisi Kamus Cambridge merujuknya sebagai ucapan awam yang dipenuhi kebencian atau menggalakkan keganasan terhadap individu atau kumpulan berdasarkan kaum, agama, jantina, atau kecenderungan seksual. Bagaimanapun, tiada takrifan yang dipersetujui semua berkaitan ucapan kebencian mengikut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
  • Perjanjian Antarabangsa bagi Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR), selaku perjanjian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mencadangkan bahawa sebarang advokasi kebencian nasional, perkauman atau keagamaan yang mendorong kepada diskriminasi, permusuhan atau keganasan harus dilarang dari segi undang-undang. Walaupun cadangan ini merangkumi sebahagian besar ucapan kebencian, terdapat juga ucapan kebencian yang menyasar tema-tema lain seperti jantina, kecenderungan seksual, dan sebagainya.
  • Ucapan kebencian yang kerap diperbincangkan hari ini adalah yang berkaitan perkauman, terutamanya yang sengaja membangkitkan isu perkauman sebagai ‘umpan’ bagi meraih kelebihan politik. Kebelakangan ini, ahli politik dan calon pilihan raya di segenap pelosok dunia termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Eropah didakwa semakin kerap menghamburkan ucapan kebencian menyentuh isu perkauman ketika berkempen.
  • Article 19, sebuah pertubuhan hak asasi manusia, berpendapat bahawa ucapan kebencian adalah konsep yang berdasarkan emosi  — sukar untuk diterangkan tetapi boleh dikenal pasti dan dirasai orang umum apabila berdepan dengannya. Sebab-sebab sesuatu ucapan digelar ucapan benci lazimnya "sukar diartikulasikan dan kadang-kadang bercanggah".
  • Justeru, apa yang dianggap sebagai ucapan kebencian adalah khusus kepada konteks setempat dan tahap toleransi kepada ucapan kebencian atau kesat berbeza antara pelosok-pelosok dunia. Kajian Pusat Penyelidikan Pew pada 2015 menemui perbezaan ketara merentasi rantau dari segi tahap penerimaan kenyataan negatif terhadap kumpulan minoriti.
  • Walaupun definisi ucapan kebencian sukar dikenal pasti, sesetengah negara telah mengambil langkah untuk menangani ucapan kebencian menerusi sistem perundangan mereka selepas mengambil kira konteks sejarah dan norma sosial masing-masing.

Mengapa isu ini penting?

  • Kebimbangan pertama mengenai ucapan kebencian ialah kaitannya dengan keganasan. Genosid terhadap bangsa Yahudi Eropah ketika Perang Dunia Kedua, kaum Tutsi di Rwanda dan etnik Rohingya di Myanmar semuanya didahului penyebaran mesej hasutan dipenuhi kebencian secara terus-menerus.
  • Kini, pakar ekstremisme mendedahkan kaitan antara retorik kemarahan pemimpin politik dengan kekerapan laporan jenayah kebencian. Sebagai contohnya, beberapa kajian telah mengenal pasti kaitan di antara retorik Presiden Donald Trump dengan peningkatan jenayah kebencian yang dilaporkan di seluruh AS.
  • Di Jerman, penyelidik telah mendapati kaitan antara ucapan kebencian dalam talian terhadap migran dan orang pelarian dengan kejadian serangan fizikal ke atas mereka. Penyelidik mendapati bahawa satu insiden anti-pelarian dilaporkan berlaku bagi setiap empat entri Facebook yang mengecam orang pelarian.

Jenayah kebencian adalah jenayah yang didorong prasangka atau prejudis. Pertubuhan Kerjasama dan Keselamatan di Eropah (OSCE) menyifatkan sesuatu perlakuan sebagai jenayah kebencian jika ia adalah kesalahan jenayah, dan ketara didorong prasangka atau prejudis terhadap sesuatu masyarakat.

  • Kebimbangan kedua mengenai ucapan kebencian ialah kaitannya dengan polarisasi dan ketidakharmonian. Ucapan bernada kebencian menerusi platform media sosial telah didapati menguatkan perasaan rasisme, membenci wanita dan homofobia. Antaranya, pakar psikologi dari AS dan Poland telah mendapati bahawa pendedahan yang kerap terhadap ucapan kebencian meningkatkan prejudis, ketidakpercayaan, dan kemarahan terhadap kelompok sasar, sekali gus meningkatkan kebarangkalian untuk jenayah kebencian berlaku.
  • Di sebalik hasil-hasil kajian mengenai kesan ucapan kebencian, Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB Bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR) mendapati bahawa kebanyakan negara tidak mempunyai undang-undang mencukupi bagi menangani isu ucapan kebencian atau peruntukan tidak jelas yang boleh disalahgunakan.

Bagaimanakah negara berbeza menangani isu ucapan kebencian?

  • Sesetengah negara mendakwa ucapan yang dianggap mendorong kepada keganasan, manakala ada negara yang lebih tegas dan menghukum ucapan yang disifatkan menyinggung atau membenci (iaitu tanpa dorongan kepada keganasan).
  • Kebanyakan negara menangani ucapan kebencian menerusi undang-undang jenayah yang antara lain memperuntukkan hukuman punitif seperti penjara dan denda. Segelintir negara, seperti Australia, meletakkan ucapan kebencian di bawah undang-undang sivil yang membenarkan pengadu memfailkan kes terhadap pelaku ucapan kebencian di mahkamah atau suruhanjaya yang boleh membawa kepada pelbagai bentuk hukuman.
  • Amerika Syarikat mungkin adalah negara paling liberal dalam aspek ucapan kebencian. Pindaan Pertama di bawah Perlembangan Amerika Syarikat melindungi kebebasan bersuara walau sejelik mana sekalipun kandungannya. Bagaimanapun, ia tidak melindungi ucapan yang menggugat keamanan ‘melalui penuturannya’.
  • Beberapa negara bukan sahaja melarang perbuatan menghasut, tetapi turut mengharamkan ucapan menyakitkan dan penuh kebencian. Sebagai anggota ICCPR, Indonesia mengguna pakai perlindungan dan batasan perjanjian PBB itu dalam sistem perundangan negaranya, termasuk melarang ucapan kebencian. Di bawah Kanun Keseksaan Indonesia, sebarang pernyataan permusuhan, kebencian atau menghina terhadap individu atau kumpulan berdasarkan etnik, kaum, agama, jantina, umur dan keupayaan, boleh dihukum penjara antara satu hingga tujuh tahun atau didenda.
  • Perancis mengharamkan cacian dan hasutan menjurus kepada diskriminasi, kebencian atau keganasan terhadap individu atau kumpulan berdasarkan etnik, kewarganegaraan, kaum, agama, jantina, kecenderungan seksual, dan keupayaan. Julai lalu, negara itu turut meluluskan undang-undang bagi mengekang ucapan kebencian dalam talian.
  • Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan Singapura menangani ucapan menyakitkan serta hasutan terhadap kebencian kaum dan agama dengan hukuman yang berat. Bagaimanapun, undang-undang ini telah dikritik sebagai ‘lapuk’. Singapura turut membentuk Majlis Presiden Bagi Keharmonian Agama di bawah Akta Senggara Keharmonian Agama bagi menasihati Parlimen dalam isu berkaitan keharmonian agama.
  • Ketika kebanyakan negara menangani ucapan kebencian menerusi undang-undang jenayah nasional, Australia melakukannya menerusi undang-undang sivil di peringkat negeri. Akta Diskriminasi Kaum Australia melarang perbuatan menyinggung, menghina, mencaci atau menakut-nakutkan individu di khalayak ramai atas dasar kaum, warna kulit, kewarganegaraan atau etnik. Ini merangkumi perkataan, bunyi, imej, atau bahan bertulis kepada umum dalam apa cara sekalipun. Akta itu menetapkan bahawa “tindakan melanggar undang-undang tidak semestinya kesalahan jenayah”, sekali gus membuka ruang bagi aduan sivil disalur kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Australia.
  • Bagaimanapun, ada kalanya undang-undang ucapan kebencian ternyata tidak berkesan. Di Myanmar, Rang Undang-Undang Kewujudan Bersama Keharmonian Antara Agama yang dirangka pada 2016 didakwa sebagai pelindung daripada ucapan kebencian. Bagaimanapun, cadangan undang-undang itu menyatakan bahawa agama yang dilindungi daripada ucapan kebencian terhad kepada agama “yang menjadi anutan majoriti rakyat” sekali gus membenarkan ucapan kebencian dan perlakuan melampau terhadap agama golongan minoriti. Jelas, undang-undang itu gagal menghentikan peningkatan ucapan kebencian terhadap etnik Rohingya, baik di platform media sosial mahu pun media tradisional.
  • Bagaimanapun, wajar diambil maklum bahawa usaha mentafsir ucapan kebencian agak mencabar. Negara seperti Amerika Syarikat dan Australia berdepan pelbagai cabaran dalam isi ini kerana ia dilihat sebagai melanggar kebebasan bersuara.

Bagaimana Malaysia menangani ucapan kebencian?

  • Malaysia bukan anggota atau penandatangan ICCPR, yang menuntut peruntukan undang-undang bagi ucapan kebencian.

Apakah perbezaan di antara menjadi ‘anggota’ dengan ‘penandatangan’ perjanjian antarabangsa?

Anggota: Negara yang telah menandatangani dan mengiktiraf sesuatu perjanjian antarabangsa.
Penandatangan: Negara yang telah menandatangani perjanjian antarabangsa tetapi belum mengiktirafnya.

  • Walaupun Malaysia tidak mempunyai peruntukan undang-undang khusus membabitkan ucapan kebencian, kita mempunyai beberapa undang-undang yang menangani pelbagai aspek mengenainya seperti hasutan dan penyebaran ucapan menyakitkan atau kebencian.
    • Akta Hasutan melarang ucapan, tindakan, penerbitan, dan penyebaran bahan dianggap menghasut — ditakrif sebagai hasrat menimbulkan kebencian, menghina, ketidakpuasan hati terhadap Raja/Sultan, Kerajaan, pentadbiran perundangan di Malaysia, mencetuskan permusuhan antara kaum, serta mempersoalkan hak atau keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
    • Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melarang penggunaan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian telekomunikasi untuk menyampaikan sebarang bentuk komunikasi yang dianggap menyakitkan dan boleh mengjengkelkan orang lain.
    • Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 melarang penerbitan atau penghasilan bahan yang boleh mencetuskan keganasan terhadap individu atau harta benda, atau menyebabkan kebencian dan ketidakharmonian.
    • Seksyen 298A Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman bagi sebarang perkataan atau tindakan yang menyebabkan ketidakharmonian atau kebencian atas alasan agama.
    • Seksyen 503 hingga 505 Kanun Keseksaan melarang ancaman, cacian, kenyataan atau khabar angin yang sengaja dibuat atau disebarkan terhadap individu atau mana-mana komuniti bertujuan untuk menjejaskan keamanan.
  • Pada 2015, Pusat Penyelidikan Pew mendedahkan hanya 25 peratus hingga 27 peratus daripada 1,000 responden Malaysia percaya bahawa sesiapa wajar dibenarkan membuat kenyataan menyakitkan atau menyinggung secara terbuka.
  • Kebimbangan terhadap peningkatan ucapan kebencian telah mendorong desakan supaya undang-undang khusus mengenainya dibentuk. Bagaimanapun, ada yang berpandangan undang-undang baharu tidak akan menyelesaikan masalah ucapan kebencian, malah mungkin digunakan untuk mengongkong kebebasan bersuara. Ada juga yang mencadangkan undang-undang sedia ada dikekalkan dengan penguatkuasaan yang lebih ketat — terutamanya pada mereka yang berpengaruh seperti ahli politik dan pemimpin agama.
  • Pada Julai tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa telah mengumumkan hasrat kerajaan memperkenalkan tiga undang-undang baharu untuk mengawal ucapan kebencian. Dua daripadanya, iaitu Akta Anti-Diskriminasi Kaum serta Akta Kebencian Agama dan Kaum, tidak akan dibentang. Setakat ini, belum lagi didengari perkembangan mengenai cadangan ketiga iaitu Akta Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional.
  • Sementara itu, kontroversi turutan Kongres Maruah Melayu, pengenalan tulisan khat, komik ‘komunis’ Superman Hew dan penceramah Zakir Naik antara lain menunjukkan bahawa takrifan dan respons yang membina kepada ucapan kebencian belum lagi kelihatan dalam iklim politik Malaysia hari ini.

Soalan untuk renungan:

1. Apakah takrifan sebenar ucapan kebencian? Siapa yang berhak menentukannya?

2. Bagaimana undang-undang ucapan kebencian boleh dilaksanakan sambil juga memastikan kebebasan bersuara?


3. Adakah undang-undang Malaysia memadai dalam menangani ucapan kebencian? Apakah kita memerlukan perundangan lebih tegas, atau sesuatu yang lebih holistik?


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS