Editorial| Public Goods

Menjamin Masa Depan Belia Tanpa Ijazah

Lebih daripada 70% golongan belia tidak memiliki diploma atau ijazah sarjana muda. Kami bertanya sama ada golongan bukan graduan dapat memanfaatkan latihan kemahiran yang tersedia.

By Edwin Goh | 21 July 2020


Anak muda sering dinasihatkan supaya mendapatkan segulung ijazah atau diploma demi menjamin masa depan yang lebih baik. Namun dengan arus pendigitalan dan automasi pekerjaan, jaminan ini semakin rapuh. Apatah lagi bagi belia yang tidak memiliki ijazah dan diploma – apakah jalan atau pilihan yang paling baik bagi masa depan mereka?

Menurut Laporan Tinjauan Tenaga Buruh Malaysia 2019, 86% daripada tenaga buruh negara tidak mempunyai sijil pendidikan tinggi. Berdasarkan Laporan Statistik Siswazah 2018 serta Laporan Statistik Tahunan 2018, kami menganggarkan sekitar 77% rakyat Malaysia berusia 20-34 tahun, iaitu golongan belia, tidak memiliki ijazah atau diploma.

Lazimnya, golongan yang tidak memiliki ijazah atau diploma terlibat dengan pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah. Sektor pekerjaan ini merupakan antara yang paling terancam oleh arus pendigitalan dan automasi, lebih-lebih lagi dalam dunia COVID-19. Tanpa sokongan yang berkesan untuk mempertingkatkan kemahiran mereka, golongan ini adalah antara yang paling berisiko untuk hilang mata pencarian.

Hakikatnya, pihak kerajaan telah lama menawarkan kursus kemahiran dan latihan semula dalam usaha menyelesaikan masalah pendapatan belia, termasuk belia tanpa ijazah. Tahun ini sahaja, RM14* bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai program peningkatan kemahiran – sebanyak RM12 bilion dibawah Belanjawan 2020 dan tambahan RM2 billion lagi melalui pelan pemulihan ekonomi COVID-19 PENJANA.

*Angka ini tidak termasuk peruntukan untuk pelbagai program pembangunan keusahawanan dan inisiatif kemahiran di bawah agensi seperti Cradle Fund, Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), TEKUN, MARA, Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).

Persoalannya, adakah usaha ini mencukupi untuk membolehkan anak muda, yang mempunyai latar belakang dan kebolehan yang berbeza-beza, untuk mempertingkatkan kemahiran mereka dan seterusnya, menikmati taraf hidup yang lebih baik? Kami menemubual beberapa orang belia bukan graduan untuk mengetahui sama ada mereka menggunakan kemudahan latihan kemahiran yang tersedia, dan jika tidak, mengapa?

Kami dapati bahawa belia yang tidak memiliki ijazah atau sijil boleh dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan keperluan setiap kumpulan perlu difahami. Terdapat pelbagai faktor yang memainkan peranan dalam membolehkan sesuatu kumpulan belia mencapai dan mengguna kemudahan yang tersedia. Faktor-faktor ini perlu diambilkira untuk memastikan wang berbilion ringgit yang diperuntukkan untuk program-program latihan ini dapat memanfaatkan kumpulan sasaran sebenar dan mencapai tujuan mempertingkatkan taraf hidup belia.


Pandemik Kehilangan Pekerjaan

Sebelum meneliti faktor-faktor tersebut dengan lebih lanjut, mari kita lihat kedudukan Malaysia berbanding negara jiran dari segi mobiliti sosioekonomi (socioeconomic mobility). Malaysia berada di kelompok pertengahan, di kedudukan ke-43 dari 82 negara dalam Indeks Mobiliti Sosial Global (Global Social Mobility Index) 2020 Forum Ekonomi Dunia (WEF). Kita berada di hadapan jiran ASEAN seperti Vietnam (tangga ke 50), Thailand (55) dan Indonesia (67), namun masih di belakang Singapura (20).

Dengan kesan ekonomi dari COVID-19 yang semakin ketara, mampukah Malaysia memperbaiki atau sekurang-kurangnya mempertahankan kedudukan ini? Walaupun tiada negara yang terlindung daripada impak negatif pandemik ini, keadaan di Malaysia masih merisaukan. Angka rasmi menunjukkan seramai 168,300 rakyat Malaysia kehilangan pekerjaan dalam bulan April 2020 – peningkatan 28% dari bulan sebelumnya. Jabatan Perangkaan Malaysia meramalkan kadar pengangguran meningkat ke 5.5% tahun ini, dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) pula menjangkakan akan berlaku pembuangan pekerja secara besar-besaran tahun ini.

Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO) menamakan 4 sektor, iaitu sektor penginapan dan makanan, pembuatan, peruncitan dan pentadbiran, sebagai yang paling terkesan dengan pandemik Covid 19. Pekerja muda pula paling berisiko untuk diberhentikan.

Apabila dunia pulih dari ancaman COVID-19 kelak, pekerjaan di beberapa sektor seperti pelancongan akan muncul semula. Namun begitu, pekerjaan separa mahir dan berkemahiran rendah seperti pekerja runcit atau pembantu tadbir mungkin akan terus berkurangan, sama ada kerana perlahanan ekonomi, penggantian teknologi atau keduanya sekali.

Untuk mereka yang pekerjaannya terjejas, pekerjaan gig menjadi sandaran, lebih-lebih lagi dengan permintaan yang bertambah buat masa sekarang. Tetapi bekerja gig bukanlah suatu kerjaya jangka masa panjang, dan ia tidak menawarkan penganjakan karier atau pendapatan. Dari aspek ini, tiada kata dua: untuk menjamin masa depan belia, kemahiran perlu dipertingkatkan supaya mereka mampu mendapatkan pekerjaan yang berkemahiran tinggi.


Memahami realiti di tahap akar umbi

Walaupun berbilion ringgit telah dilaburkan untuk program kemahiran dan latihan semula, kita masih belum ada kajian atau laporan jangka masa panjang tentang keberkesanannya dari segi impak sosioekonomi. Ini mungkin kerana ia merupakan suatu tugas yang agak mencabar. Dalam usaha memahami hanya satu dari berbagai cabang program ini, iaitu TVET, Kajian Pembangunan Pelan Induk Kebangsaan Latihan Teknikal dan Vokasional 2018 menggariskan beberapa isu. Antaranya, cabaran dalam tadbir urus program yang merentasi berbagai agensi dan kementerian di mana wujudnya perpecahan dan penduaan, serta ketiadaan piawaian untuk sistem penilaian.

Nyata, telah ada beberapa usaha yang telah dijalankan untuk memperbaiki keadaan, seperti penglibatan industri dalam membangunkan kurikulum latihan. Walau bagaimanapun, usaha ini datang dari perspektif penawaran (supply-side). Kami dapati kajian dari aspek permintaan (demand-side) agak berkurangan. Kita perlu menilai sama ada peluang latihan kemahiran dan latihan semula yang sedia ada memberi manfaat kepada golongan yang paling memerlukannya, iaitu golongan belia tidak berpendidikan tinggi. Adakah ia menepati apa yang mereka perlukan, dan jika tidak, mengapa?

Dalam merangka kajian yang lebih mendalam isu ini, kami telah memulakan usaha awal dengan menemubual beberapa orang anak muda yang tidak memiliki ijazah dalam lingkuan usia 20-30an. Hasil temubual-temubual ini menggariskan beberapa cabaran di peringkat akar umbi yang mempengaruhi usaha mempertingkatkan mobiliti sosioekonomi demografik ini.

Pertama: potensi pendapatan seseorang anak muda bukan graduan dipengaruhi oleh (1) latar belakang sosioekonomi keluarga mereka, (2) rangkaian sosial mereka dan (3) kemahiran berbahasa Inggeris. Bagi sesetengah belia, kewujudan ketiga-tiga faktor ini memberikan mereka keyakinan untuk tidak meneruskan pelajaran ke peringkat tinggi. Sebaliknya mereka memilih untuk menggunakan dayadiri untuk belajar sendiri secara dalam talian (yang rata-ratanya menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara). Mereka ini boleh menggunakan rangkaian sosial mereka seperti kenalan ibubapa atau kenalan sediri untuk mendapatkan pekerjaan, perantisan atau bimbingan. Pada masa yang sama, mereka dapat memanfaatkan persekitaran yang selesa dan stabil di rumah. Memiliki hanya satu dari tiga faktor ini pun cukup untuk mempengaruhi potensi mereka: contohnya – jika mahir berbahasa Inggeris, maka bahan dalam talian menjadi lebih mudah untuk dicapai.

Kedua: potensi pendapatan seseorang belia bukan graduan bergantung pada motivasi diri. Mereka yang lebih bermotivasi untuk memperbaiki taraf hidup mereka atau mempelajari kemahiran baharu akan menjadi lebih komited dan tidak berhenti separuh jalan. Motivasi ini pula didorong oleh kebolehan mereka untuk menggambarkan masa depan mereka – contohnya: boleh membayangkan pekerjaan atau kenaikan pangkat yang dapat dikejar sekiranya mereka menyertai sesuatu program latihan kemahiran. Ini juga dipengaruhi sedikit sebanyak oleh kenalan dan rangkaian sosial – melihat rakan atau saudara yang menikmati manfaat ini akan memberikan mereka keyakinan yang lebih.


Memikir semula pendekatan kepada penyediaan program kemahiran

Walaupun ini adalah hasil penemuan awal, kami berasa ia memberi gambaran asas bagaimana kita perlu memikirkan semula pendekatan yang diambil dalam usaha melatih atau melatih semula golongan belia yang tidak mempunyai ijazah atau sijil. (Kami sedang merancang untuk membuat kajian lanjut dengan sampel yang lebih meluas).

Golongan muda bukan graduan berbeza-beza dari segi potensi diri dan gaya pembelajaran. Memahami perbezaan-perbezaan ini boleh membantu kita mensasarkan program mengikut keperluan. Sebagai contoh, kita ambil program Global Online Workforce (GLOW) yang diadakan secara kerjsama dengan platform pembelajaran Coursera. Golongan bukan graduan yang mahir berbahasa Inggeris, mempunyai talian internet jalur lebar yang stabil, boleh belajar sendiri dan ada rangkaian sosial boleh mendapat manfaat dari program ini. Mereka yang tidak mempunyai ciri-ciri di atas mungkin memerlukan bantuan yang lebih komprehensif – bermula dari bimbingan kerjaya, kemudian menjalani latihan yang bersesuaian dengan gaya pembelajaran dan akhirnya bantuan penempatan kerja.

Dalam usaha menempatkan anak muda kita dalam pekerjaan yang berpendapatan tinggi, kita perlu memastikan bahawa apa yang ditawarkan dari segi program latihan, sejajar dengan apa yang mereka perlukan. Ini bermakna kepelbagaian golongan belia perlu diambil kira dalam membentuk program kemahiran dan latihan semula. Jika tidak, peruntukkan untuk peningkatan kemahiran ini mungkin terbazir, dan niat baik kekal sekadar niat tanpa membuahkan hasil.