RESEARCH PILLARSALL PUBLICATIONS

Research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas.


Primer Public Goods

Belanjawan 101: Memahami Hasil Kerajaan Malaysia

Kerajaan mengutip hasil dari pelbagai sumber untuk menjana dana bagi tujuan perbelanjaan negara. Ketahui sumber hasil utama negara.

By Editorial Team6 October 2019


Apakah Hasil Kerajaan Persekutuan?

  • Menurut Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), hasil kerajaan persekutuan merupakan segala hasil atau wang yang dikutip oleh Kerajaan – kecuali hasil agama Islam seperti kutipan zakat, fitrah, Baitulmal, dan seumpamanya. Hasil kerajaan lazimnya akan digunakan untuk perbelanjaan negara.
  • Hasil kerajaan Persekutuan diterima menerusi empat kategori iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai, terimaan bukan hasil, dan hasil Wilayah Persekutuan.


Apakah jenis-jenis hasil kerajaan?

Hasil Cukai

  • Terdapat dua kategori hasil cukai yang dikutip oleh kerajaan iaitu cukai langsung dan cukai tidak langsung.
  • Cukai langsung adalah cukai dan duti yang dikutip oleh kerajaan yang dikenakan ke atas individu atau organisasi berdasarkan pendapatan dan aktiviti ekonomi mereka. Pendapatan ini mungkin dalam bentuk penerimaan ganjaran, emolumen atau gaji, atau untung bersih perniagaan.
  • Antara contoh cukai langsung adalah cukai pendapatan individu, dari syarikat, cukai sewa filem, duti harta pusaka, duti setem, serta duti atas keuntungan hartanah.

Duti merupakan sejenis cukai yang dikenakan atas barang yang dibawa masuk atau keluar dari negara, atau ke atas urusniaga tertentu.

  • Cukai tidak langsung pula dikenakan secara tidak langsung terhadap individu dan hanya dibayar apabila seseorang individu membeli atau menggunakan sesuatu barangan atau perkhidmatan.
  • Contohnya, apabila seseorang itu membeli barangan tertentu dari luar negara, duti import akan dikenakan. Jabatan Kastam Dan Eksais Diraja mentadbir serta mengutip duti eksport dan import, duti eksais, dan cukai perkhidmatan manakala Jabatan Pengangkutan Jalan mengutip cukai jalan. Sebelum pemansuhannya, cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga merupakan item di bawah kategori ini.

Hasil Bukan Cukai

  • Hasil bukan cukai dikutip menerusi bayaran untuk perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan kepada rakyat atau apa-apa bayaran yang diterima daripada penguatkuasaan undang-undang. Ini termasuklah bayaran lesen atau fi bagi perkhidmatan kerajaan, saman atau denda. Pulangan pelaburan kerajaan atau perniagaan milik kerajaan (GLC atau GLIC) serta keuntungan daripada penjualan aset kerajaan juga adalah hasil bukan cukai.

Terimaan Bukan Hasil

  • Terimaan bukan hasil adalah kutipan yang tidak berdasarkan apa-apa akta ataupun perundangan. Kategori ini terdiri dari semua pulangan balik perbelanjaan seperti kredit antara jabatan, pulangan balik bayaran yang lebih, dan bayaran pelarasan dalam tahun-tahun kewangan yang lalu.  

Hasil Wilayah Persekutuan

  • Hasil ini terdiri dari hasil cukai dan bukan cukai yang dikutip oleh pihak Wilayah Persekutuan. Ia sama seperti pendapatan negeri-negeri, tetapi Wilayah Persekutuan berada di bawah kuasa kerajaan pusat. Contoh-contoh hasil ini termasuk hasil daripada tanah, lombong, dan hutan serta hasil daripada lesen-lesen.


Apakah trend kutipan hasil kerajaan pada tahun-tahun yang lalu?

  • Sumber utama hasil kerajaan pada tahun lalu adalah hasil cukai. Sebahagian besarnya adalah daripada cukai pendapatan syarikat diikuti oleh cukai pendapatan individu serta kutipan GST. 
  • Berdasarkan graf di atas, hasil bukan cukai mengalami pengurangan konsisten dari tahun 2014 ke 2017.  Antara sebab pengurangan ini ialah potongan pulangan dari pelaburan institusi seperti Bank Negara, PETRONAS, dan Khazanah Nasional Berhad. 
  • Terimaan bukan hasil pula mengalami kenaikan pada tahun-tahun lalu kerana peningkatan dalam pulangan balik perbelanjaan yang berlebihan. 


Sumbangan petroleum kepada hasil kerajaan

  • Petroleum memainkan peranan yang sangat besar dalam menyumbang kepada hasil pendapatan negara. Sebagai negara pengeluar minyak, pendapatan daripada petroleum disumbang menerusi pelbagai kategori hasil sama ada dalam bentuk cukai atau bukan cukai seperti cukai langsung petroleum (PITA), royalti petroleum, dividen Petronas, duti eksport dan hasil menerusi kerjasama penerokaan sumber minyak antara Malaysia dan Thailand yang diberi nama Malaysia-Thailand Joint Authority (MTJA).
  • Namun begitu, jumlah pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti berkaitan petroleum tidak menentu kerana ia bergantung kepada turun naik harga minyak dunia. Kerajaan juga mempunyai kuasa untuk menentukan jumlah dividen yang perlu diterima daripada syarikat Petronas. Manakala keupayaan Petronas untuk membayar dividen kepada kerajaan adalah bergantung kepada prestasi syarikat tersebut.
  • Bagi tempoh 2009 sehingga 2019, hasil petroleum menyumbang antara 14% sehingga 41% daripada keseluruhan hasil kerajaan.

Soalan peminat dasar dan rakyat

Apakah langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara kepada hasil petroleum, memandangkan petroleum merupakan sumber yang terhad?

Kita memang tidak suka membayar cukai, tetapi jika kita mengelak dari membayar cukai, banyak perbelanjaan pembangunan kerajaan tidak dapat dijalankan tanpa kerajaan menerbitkan hutang. Bagaimanakah kita sebagai rakyat patut mengimbangi kedua perspektif ini?

Email us your views or suggestions at editorial@centre.my.


The Centre is a centrist think tank driven by research and advocacy of progressive and pragmatic policy ideas. We are a not-for-profit and a mostly remote working organisation.

JOIN OUR MAILING LIST.
WE WON’T SPAM YOU!

RESEARCH PILLARS
ALL PUBLICATIONS
ABOUT US
IN THE NEWS