Editorial| Legal Reform

Adakah Denda Sama Rata atau Penjara Wajar Sebagai Hukuman PKP?

Ke arah hukuman yang lebih adil dan saksama, kami menyarankan konsep penetapan denda berdasarkan pendapatan bagi kesalahan pelanggaran PKP.

By Jia Vern Tham | 13 May 2020


Dalam dua fasa pertama Perintah Kawalan Pergerakan Malaysia (PKP) yang berlangsung dari 18 Mac sehingga 12 April 2020, hampir 15,000 individu telah ditahan dan 5,830 orang didakwa di mahkamah kerana mengingkari PKP. Sejak itu, ramai lagi individu yang telah ditahan dan didakwa.

Jumlah ini mencerminkan kesungguhan pihak berkuasa dalam menyekat pergerakan bagi meratakan kadar (flattening the curve) jangkitan Covid-19. Walau bagaimanapun, kisah-kisah sebenar di sebalik angka ini, terutamanya berkenaan mereka yang berpendapatan rendah, telah menimbulkan persoalan mengenai erti keadilan dan kesamarataan dalam hukuman yang dilaksanakan.


Haruskah kemampuan menentukan sama ada pesalah dipenjarakan?

Isu hukuman setimpal muncul tidak lama setelah penguatkuasaan PKP bermula, apabila contoh-contoh tindakan tidak seimbang terhadap pesalah PKP mula timbul di media sosial. Berikutan kritikan masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan, pihak berkuasa diperhatikan cuba untuk memperbetulkan keadaan. Dari ‘sistem’ nasihat dan amaran dalam Fasa Pertama PKP, corak penguatkuasaan beralih ke praktik pengeluaran kompaun RM1,000 secara automatik dalam Fasa Kedua. Dalam Fasa Ketiga pula, ini bertukar sekali lagi dan penjatuhan hukuman diserahkan sepenuhnya kepada budi bicara pihak mahkamah.

Meskipun niat di sebalik perubahan-perubahan ini mungkin menyasar kepada penambahbaikan, namun berita tentang beberapa hukuman yang telah dijatuhkan terus menggugat persepsi keadilan penguatkuasaan PKP. Pada masa penulisan artikel ini, kes terbaru yang timbul melibatkan seorang ibu tunggal yang dipenjarakan kerana ingkar arahan PKP sementara tertuduh PKP yang lain hanya didenda RM1,000. Terdapat juga kes-kes yang dilaporkan dari Terengganu, Selangor dan Kelantan, di mana pesalah PKP dipenjarakan kerana tidak mampu untuk membayar denda RM1,000 atau wang jaminan.

Dari satu aspek, contoh-contoh ini bukanlah berita baharu. Realitinya, kebanyakan tahanan penjara di Malaysia terdiri daripada golongan yang miskin. Laporan dari Khazanah Research Institute (KRI) pada tahun 2014 mendedahkan bahawa kebanyakan tahanan di penjara Kajang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah. Lebih menyedihkan lagi adalah statistik tahanan muda; data dari tahun 2004 menunjukkan bahawa 71% remaja di penjara berasal dari keluarga berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Tetapi, mungkin kerana kesan virus Covid-19 dan PKP dirasai secara meluas, isu hukuman terhadap pelanggaran PKP telah menarik lebih banyak perhatian orang ramai berbanding kesalahan lain. Antara persoalan yang diajukan rakyat: wajarkah menuntut denda RM1,000 daripada remaja yang miskin ataupun dari pekerja gaji harian berbanding dengan jogger Mont Kiara atau VIP ternama yang lebih makmur? Dan apabila pesalah PKP tidak mampu membayar jumlah denda ini, wajarkah penjara menjadi hukuman alternatif?


Kesaksamaan Hukuman : Perihal Jenis dan Jumlah Denda

Antara pakar undang-undang yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap hukuman PKP adalah Profesor Datuk Salleh Buang yang telah mencadangkan penangguhan hukuman. Mohamed Haniff Khatri Abdulla juga telah mencadangkan agar hukuman penjara digantikan dengan khidmat masyarakat. Lebih menarik lagi, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar juga telah dilaporkan menandatangani surat yang meminta badan kehakiman untuk berhenti menghantar pesalah PKP ke penjara.

Pendapat-pendapata ini juga mencerminkan pendapat orang ramai. Dalam tinjauan media sosial oleh The Center bertarikh 8 April 2020, hanya 12% responden berpendapat hukuman penjara adalah hukuman setimpal untuk pelanggaran PKP sementara majoriti, 58%, menyokong hukuman khidmat masyarakat. 

Apabila motif dan pendapatan diambilkira, hampir 86% responden tinjauan setuju bahawa pesalah berpendapatan rendah layak dijatuhkan hukuman yang lebih ringan.

Selain menggantikan hukuman penjara dengan khidmat masyarakat, bagaimanakah kita boleh menetapkan hukuman yang lebih ringan tetapi masih adil?


Hukuman denda berdasarkan pendapatan

Hukuman berdasarkan pendapatan mempertimbangkan keupayaan ekonomi seseorang dalam penetapan jumlah denda yang dikenakan. Idea di sebalik penskalaan denda mengikut pendapatan adalah supaya denda tersebut dirasai sama berat bagi mereka yang berpendapatan tinggi berbanding mereka yang berpendapatan rendah.

Pada masa ini, penetapan jumlah denda adalah di bawah budi bicara badan kehakiman, tetapi penyelidikan telah mendapati bahawa tahap pendapatan pesalah kurang mendapat perhatian dalam penetapan hukuman.

Sistem hukuman berdasarkan pendapatan telah wujud selama hampir seabad. Hari ini, model yang paling banyak digunakan adalah model ‘denda harian’ ataupun ‘day fine’

Denda harian dikira dengan menggandakan sebahagian pendapatan harian pesalah dengan ‘unit hari’, iaitu bilangan hari yang dianggap sesuai sebagai ‘pengganda’ hukuman mengikut tahap keberatan kesalahan yang dilakukan:

Jumlah denda = peratusan gaji harian (kasar atau bersih) x unit hari

Sistem denda harian digunakan di beberapa negara di Eropah dan Latin Amerika. Formula dan keluasan penggunaannya berbeza dari satu negara ke negara yang lain. Di Finland, formula denda mengambil kira separuh daripada pendapatan bersih harian manakala di Jerman pula, pendapatan bersih harian penuh pesalah digunakan. Definisi pendapatan bersih juga berbeza dari satu negara ke negara yang lain. Dari segi unit hari, Kod Jenayah Austria dan Jerman menetapkan bahawa antara 5 hingga maksimum 360 ‘unit hari’ boleh dijatuhkan berdasarkan keberatan kesalahan.


‘Kalkulator’ denda pelanggaran PKP

Katakan dalam senario ini, kita mempunyai dua pesalah PKP, seorang yang mendapat gaji minimum RM1,200 sebulan dan seorang lagi yang memperoleh RM10,000 sebulan. Dengan menggunakan formula denda yang mudah iaitu 10% gaji kasar, pesalah yang berpendapatan RM10,000 sebulan akan membayar jumlah denda sebanyak RM1,000 manakala pesalah yang berpendapatan gaji minimum akan membayar denda sebanyak RM120. (Jumlah denda akan menjadi lebih rendah jika formula denda berdasarkan gaji bersih dan bukan gaji kasar.)

Sebagai alternatif, kita juga boleh menggunakan sistem denda harian. Berdasarkan model denda harian di Finland, Jerman, dan Austria, kami telah menghasilkan ‘kalkulator denda’ berdasarkan separuh daripada gaji harian kasar untuk tujuan ilustrasi. Untuk pesalah kali pertama dan pelanggaran PKP yang tidak serius, kadar ‘unit hari’ ditetapkan pada 10 hari.

Berdasarkan kadar tersebut, pesalah yang berpendapatan RM1,200 sebulan perlu membayar denda sebanyak RM200 sementara pesalah yang berpendapatan RM10,000 sebulan perlu membayar sebanyak RM1,667.

Formula kalkulator denda boleh dijadikan lebih menyeluruh seperti mengambil kira jumlah tanggungan isi rumah dalam pengiraan pendapatan bersih. Apapun formula yang digunakan, prinsip teras adalah untuk memastikan kesaksamaan jumlah denda antara dua darjat.

Cuba kalkulator di sini:



Tiada sesiapa patut menjadi mangsa undang-undang

Mereka yang menentang denda harian berpendapat bahawa penetapan denda mengikut pendapatan akan mengurangkan keberatan hukuman dijatuhkan dan mungkin tidak akan dipandang serius oleh pesalah tertentu.

Kami bersetuju bahawa konsep denda harian, dan denda secara umumnya, mungkin tidak sesuai untuk kesalahan yang serius. Walau bagaimanapun, dalam hal pelanggaran PKP, keberatan sebenar kesalahan tersebut dari segi risiko penyebaran wabak sukar untuk dianggarkan tanpa maklumat yang lengkap tentang pesalah tersebut.

Jurang tahap maklumat ini bermakna adalah lebih mudah bagi pihak berkuasa untuk mengambil pendekatan penguatkuasaan yang lebih ketat. Tetapi penguatkuasaan yang lebih ketat tidak bermaksud bahawa pesalah PKP perlu menghadapi hukuman yang terlalu membebankan, terutamanya pada masa kesulitan ekonomi sebegini. Bagi kesalahan pelanggaran PKP dan kesalahan yang tidak serius, kami mencadangkan hukuman denda berdasarkan pendapatan sebagai tindakan yang berperikemanusiaan dan adil.